KUALA LUMPUR: Tindakan kepada pemilik kenderaan berpendaftaran asing merupakan antara peraturan baharu bagi membanteras ketirisan subsidi petrol RON95 di kawasan sempadan yang dijangka berkuat kuasa 1 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kementeriannya akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang melarang pembelian RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing.
Menurut beliau, peraturan sedia ada iaitu Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, larangan itu hanya terhad kepada penjualan RON95 bersubsidi kepada kenderaan berpendaftaran asing.
“Maksudnya, larangan hanya kepada penjualan yang akan menyebabkan tindakan hanya akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak tetapi tidak kepada pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing.
“Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak iaitu stesen minyak dan juga pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan peraturan baharu itu akan siap dan boleh berkuat kuasa pada 1 April ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dari Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai usaha memerangi ketirisan subsidi petrol RON95 yang disalurkan melalui program-program dilaksanakan di kawasan dan stesen minyak yang berada di kawasan sempadan.
Dalam pada itu, Armizan berkata, bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan subsidi RON95 di peringkat runcit, KPDN melaksanakan beberapa langkah-langkah antaranya pemeriksaan berkala di stesen minyak.
Katanya, KPDN juga melakukan penguatkuasaan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing dan kawalan pembelian luar tangki dengan larangan penjualan melebihi 20 liter tanpa permit khas.
Selain itu, katanya, pemantauan berkala turut dilakukan melalui buku log dan peti lawatan di stesen minyak bersempadan dan operasi penguatkuasaan bersepadu.
“Pengauditan rantaian bekalan melalui analisis corak jualan stesen minyak berisiko tinggi serta tindakan tegas terhadap pelanggaran juga dilaksanakan dan melakukan kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menangani penyalahgunaan kad pengenalan,” katanya.-UTUSAN.











