PASIR MAS: Menteri Besar Perlis Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah sepatutnya bertemu dengan Presiden Pas terlebih dahulu sebelum membuat tawaran terbuka kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu untuk menjadi Exco.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan tersebut itu dilihat kurang wajar kerana bertentangan dengan pendirian parti untuk tidak menyertai pentadbiran kerajaan di Perlis.
Katanya, pelawaan itu seolah-olah menggambarkan usaha menarik ADUN Pas secara peribadi untuk menganggotai pentadbiran kerajaan.
“Rundingan atau perbincangan berkaitan perkara itu sepatutnya dibuat secara tertutup dengan Presiden Pas.
“Beliau (Abu Bakar) sepatutnya berjumpa Presiden Pas untuk berbincang, bukannya membuat kenyataan terbuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Mydin Mart Pasir Mas di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Abu Bakar mengutuskan surat kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mempelawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas menyertai barisan Exco kerajaan negeri yang bakal dibentuk oleh beliau.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberitahu, tiada keperluan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda Perlis ketika ini.
Katanya, hal ini kerana Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai 11 kerusi manakala Pakahan Harapan (PH) hanya satu kerusi, sekali gus menafikan perkara tersebut.
“Setakat ini saya tidak nampak sebab untuk bubar DUN. Pas juga telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada dan tidak akan menggugat kestabilan politik,” ujarnya.










