BRASILIA: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron, tampil mempertahankan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), susulan penubuhan Lembaga Keamanan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Brazil dan Perancis turut dijemput menyertai organisasi penyelesaian konflik global baharu itu, yang diketuai sendiri oleh Trump, namun Perancis menolak penyertaan tersebut.
Lula sebelum ini menyuarakan kebimbangan Trump mahu mewujudkan pesaing kepada PBB ‘yang dimilikinya sendiri’.
Dalam panggilan telefon pada Isnin, beliau meminta Trump mengehadkan operasi Lembaga Keamanan hanya kepada isu Gaza serta menyediakan satu kerusi untuk Palestin.
Dalam panggilan berasingan pada Selasa, Lula dan Macron menegaskan keperluan memperkukuh PBB dan bersetuju inisiatif keamanan serta keselamatan mesti selari dengan mandat Majlis Keselamatan (UNSC), menurut kenyataan pejabat Presiden Brazil.
Inisiatif Lembaga Keamanan yang dilancarkan Trump minggu lalu di Davos terus mencetuskan perdebatan global, selepas beliau tampil bersama sekutu rapat termasuk Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban dan Presiden Argentina, Javier Milei.
Walaupun pada awalnya digambarkan sebagai badan untuk menyelia usaha pembinaan semula Gaza, piagam organisasi itu tidak menyatakan sebarang had khusus terhadap wilayah Palestin, mencetuskan tanggapan bahawa mandatnya jauh lebih luas.
Keanggotaan tetap menetapkan yuran sebanyak AS$1 bilion (RM3.95 bilion), sekali gus menimbulkan kritikan badan baharu itu berpotensi menjadi versi Majlis Keselamatan PBB yang berasaskan konsep ‘bayar untuk layak’.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang sedang berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan perang di Gaza, mengesahkan akan menyertai badan tersebut.- AFP










