Panggilan palsu bomba meningkat, jejaskan operasi keselamatan

Panggilan palsu bomba meningkat, jejaskan operasi keselamatan

NOR HISHAM MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan peningkatan berterusan kes panggilan kecemasan palsu dalam tempoh tiga tahun ini, sekali gus menjejaskan kecekapan operasi serta tahap perlindungan keselamatan awam.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 141 panggilan palsu direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 196 kes pada 2024 dan terus melonjak kepada 255 kes pada 2025.

Menurutnya, setiap panggilan palsu memerlukan tindak balas awal termasuk pengesahan maklumat, pergerakan anggota serta penggunaan aset, sekali gus melibatkan kos dan masa operasi.

“Keadaan menjadi lebih susah apabila panggilan palsu berlaku di kawasan terpencil yang jauh dari penempatan utama, menyebabkan jentera terpaksa bergerak jauh untuk pengesahan.

“Apabila jentera digerakkan untuk panggilan palsu, balai di kawasan asal akan mengalami kekosongan perlindungan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tahunan Baru 2026 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, JBPM sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengekang peningkatan panggilan palsu, termasuk dari sudut kawalan dan kesedaran awam.

Sementara itu, JBPM melaksanakan pendekatan berstruktur melalui Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi memastikan setiap aduan ditangani secara telus dan berkesan dalam isu salah laku dan pelanggaran integriti dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Menurutnya, JBPM turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tempoh pengendalian aduan supaya siasatan tidak berlarutan terlalu lama.

Pada masa sama, pihaknya turut melantik pegawai Marshal Integriti di setiap negeri dan sedang memperluaskan peranan itu ke peringkat zon bagi mengesan lebih awal sebarang unsur salah laku.

“JBPM juga telah mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat dalam kesalahan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN