Organ jadi 'saham' akhirat, bapa tunai hasrat anak

Organ jadi ‘saham’ akhirat, bapa tunai hasrat anak

MOHD. Zain Daud bersama anaknya menunjukkan gambar Amirrulmukminin yang mendermakan organ semasa ditemui pemberita di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang bapa tabah menunaikan hasrat terakhir anaknya, Amirrulmukminin Mohd. Zain, 27, yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal dengan menderma organ sebagai amal jariah dan berharap ia menjadi ‘saham’ akhirat buat Allahyarham.

Mohd. Zain Daud, 64, berkata, anaknya itu meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas motosikal ditungganginya terbabas di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman, Terengganu, kira-kira pukul 7 pagi pada 25 Disember lalu.

Katanya, sebagai bapa dia reda dan seluruh ahli sekeluarga sepakat menunaikan hasrat Allahyarham.

“Amirrulmukminin meninggal dunia setelah mengalami mati otak akibat kemalangan semasa menerima rawatan di Hospital Kemaman dan seterusnya menjalani pembedahan pendermaan organ di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZKT) pada Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, hanya mata, tulang dan buah pinggang arwah yang sesuai untuk didermakan. Semoga ia menjadi amal jariah untuk arwah,” katanya sebak ketika ditemui di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumbuh di sini hari ini.

Mohd. Zain yang merupakan pesara polis memberitahu, hasrat murni Amirrulmukminin hanya diketahui selepas anak keenam memaklumkan dia pernah melihat kad ikrar tersebut dalam dompet arwah.

Katanya, selepas pemeriksaan dibuat keluarga mendapati perkara tersebut benar dan Amirrulmukminin pernah menyuarakan hasrat berbuat demikian semasa mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar, Perak.

“Kami ingatkan ia hanya gurauan sahaja, tidak sangka ianya betul. Alhamdulillah, pihak hospital memaklumkan buah pinggang arwah sudah ada penerima menunggu.

“Walaupun kehilangan ini amat besar, kami bersyukur kerana arwah masih memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.

Sebelum itu, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 12 saat yang memaparkan warga HNZKT berbaris panjang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Amirrulmukminin selepas dia mendermakan organ.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN