BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan penganjuran pilihan raya dalam masa terdekat sebagai satu ‘kesilapan’, ketika beliau berdepan kemungkinan pilihan raya mengejut sekiranya gagal meluluskan belanjawan negara.
Rang undang-undang belanjawan tersebut dijadualkan melalui bacaan pertama di parlimen Israel (Knesset) pada Rabu, di mana gabungan pimpinan Netanyahu kini hanya bergantung kepada kerjasama tidak menentu daripada bekas sekutu untuk mengekalkan majoriti.
“Sudah tentu saya bimbang. Saya fikir kita kini berada dalam situasi yang sangat sensitif,” kata Netanyahu dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.
Kegagalan untuk meluluskan belanjawan menjelang 31 Mac ini secara automatik akan mencetuskan pilihan raya awal.
“Saya berpendapat perkara terakhir yang kita perlukan saat ini adalah pilihan raya. Kita akan mengadakannya lewat tahun ini, namun saya percaya adalah satu kesilapan jika ia dilakukan sekarang,” tambahnya.
Mengikut jadual asal, pilihan raya Israel sepatutnya diadakan pada November depan.
Netanyahu, yang juga pemimpin Likud iaitu parti sayap kanan utama Israel, memegang rekod sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara itu selama lebih 18 tahun secara keseluruhan sejak 1996, dan telah menyatakan hasrat untuk bertanding semula.
Pada pilihan raya lalu, parti Likud memenangi 32 kerusi di Knesset, manakala sekutu ultra-Ortodoks memperoleh 18 kerusi dan pakatan sayap kanan ekstrem memenangi 14 kerusi.
Walaupun beberapa sekutu ultra-Ortodoks meninggalkan kerajaan secara rasmi tahun lalu, mereka setakat ini masih enggan menjatuhkan pentadbiran Netanyahu.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan dilaporkan keberatan untuk menyokong belanjawan tersebut sehingga Netanyahu menunaikan janji bagi meluluskan undang-undang yang mengecualikan komuniti mereka daripada menyertai kerahan tenaga tentera.
Penggal pentadbiran Netanyahu kali ini turut diwarnai kontroversi pelan baik pulih kehakiman yang mencetuskan protes besar-besaran selama berbulan-bulan, melibatkan puluhan ribu rakyat Israel yang turun ke jalanan hampir setiap hari.- AGENSI










