Muhyiddin letak jawatan bukan atas paksaan Pas

Muhyiddin letak jawatan bukan atas paksaan Pas

MUHYIDDIN Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu pejabatnya di Petaling Jaya, kelmarin. – FACEBOOK BERSATU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Na­sional (PN) adalah atas ke­relaan sendiri selepas dika­ta­­kan kecewa dengan Pas khu­susnya membabitkan tin­­­­dakan segelintir pemim­pin­­nya yang celupar.

Hasrat Presiden Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu untuk melepaskan jawatan tersebut disampaikan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kelmarin dan telah dipersetujui oleh ahli MPT.

Menurut sumber dalaman Bersatu, peletakan jawatan Muhyiddin itu langsung tidak ada kena mengena dengan kemelut politik yang berlaku di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Kata sumber berkenaan, tindakan tersebut lebih kepada rasa kecewa Muhyiddin terhadap Pas terutama sikap segelintir pemimpin parti itu yang berterusan menyerang beliau tanpa rasa hormat.

“Muhyiddin meletak ja­wa­tan sebagai Pengerusi PN ada­lah atas kerelaan sendiri. Ia juga bukan disebabkan isu Perlis tetapi sikap pemimpin Pas yang celupar, melontarkan ayat-ayat kasar langsung tidak menghormati Muhyiddin selaku Pengerusi PN dan rakan sekutu dalam gabu­ngan tersebut.

“Kecewa dengan Pas ini lama dah, bukan disebabkan kemelut Perlis, tetapi ada juga keputusan-keputusan Pas yang membelakangi Bersatu sebelum ini,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Dalam mesyuarat kelmarin, MPT Bersatu menerima keputusan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN selepas mendengar hujah Ahli Parlimen Pagoh itu.

Mesyuarat itu juga membincangkan hala tuju PN dalam persiapan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk maju ke hadapan dengan dasar sederhana, progresif dan prihatin rakyat.

MPT Bersatu antara lain mengambil pendirian untuk parti berkenaan kekal sebagai rakan berprinsip, konsisten dan setia dalam PN serta kerjasama itu akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan tersebut.

Mereka dalam masa sama juga kesal kerana ada pihak melempar fitnah Bersatu mengkhianati persefahaman dalam PN, susulan krisis politik di Perlis, selain menafikan pembabitan dalam isu kepemimpinan di negeri berkenaan.

Dalam mesyuarat itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri dan ia bukan disebabkan khianat atau sebagainya seperti didakwa sesetengah pemimpin Pas.

Muhyiddin dan barisan MPT yang mendengar penjelasan Abu Bakar berpuas hati dan melahirkan rasa kesal kerana ada pihak yang melempar fitnah bahawa Bersatu mengkhia­nati persefahaman dalam PN ekoran kemelut itu.

MPT Bersatu juga menjunjung kasih atas limpah perke­nan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memilih Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu serta pelantikan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu sebagai Exco kerajaan negeri.

Seterusnya, Bersatu juga akan terus menjunjung titah nasihat Tuanku Syed Sirajuddin untuk membangunkan Perlis demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Sementara itu, sumber tersebut memberitahu, mesyuarat MPT Bersatu tersebut juga berlangsung dalam keadaan tenang dan tidak membincangkan langsung mengenai pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

“Mesyuarat berlangsung dalam keadaan aman dan tenang serta membincangkan perkara-perkara seperti peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN dan kemelut Perlis serta perkara-perkara lain,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pas mengutuskan surat kepada Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN bagi mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin dan melantik penggantinya.

Perkara itu dikongsikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui akaun sosial medianya dan memaklumkan beliau telah pun mengutuskan surat tersebut.

Dalam surat itu, Abdul Hadi memberitahu bahawa beliau telah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN pada 30 Disember lalu dan peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa pada 1 Januari yang lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN