JAKARTA: Menteri Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia, Sakti Wahyu Trenggono dilaporkan pengsan ketika mengetuai majlis penyerahan jenazah mangsa nahas pesawat ATR 42-500 kepada ahli keluarga mereka.
Insiden tersebut berlaku di akademi latihan perniagaan perikanan kementerian itu di Pasar Minggu, Jakarta Selatan.
Trenggono diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum disahkan berada dalam keadaan stabil.
“Beliau telah sedar dan berada dalam keadaan baik. Ia berpunca daripada keletihan yang melampau,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Marindan Perikanan, Didit Herdiawan.
Majlis tersebut kemudiannya diteruskan oleh Didit, melibatkan penyerahan jenazah juruterbang, Kapten Andy Dahananto, serta dua kakitangan kementerian, Ferry Irawan dan Yoga Naufal.
Mereka merupakan antara mangsa nahas pesawat yang terhempas di Sulawesi Selatan pada 17 Januari lalu.
Pesawat berkenaan membawa 10 orang terdiri daripada tujuh anak kapal dan tiga penumpang serta tiada mangsa yang terselamat dalam tragedi tersebut.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan kesemua mayat mangsa selepas operasi selama seminggu.
Menurut pihak berkuasa keselamatan penerbangan, pesawat yang dikendalikan oleh Pengangkutan Udara Indonesia itu melanggar cerun Gunung Bulusaraung di Sulawesi Selatan ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin selepas berlepas dari Yogyakarta.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT), Soerjanto Tjahjono, memaklumkan bahawa pesawat tersebut telah menyimpang dari laluan penerbangan asal ketika fasa mendarat dan memasuki kawasan pergunungan.
Sementara itu, Menteri Perhubungan, Dudy Purwagandhi, memberitahu ahli Parlimen pesawat dengan pendaftaran PK-THT itu disewa oleh Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan untuk operasi pengawasan maritim.
Beliau menjelaskan kawalan trafik udara di Makassar telah mengarahkan juruterbang untuk membetulkan haluan pesawat mengikut prosedur standard sebelum komunikasi terputus dan fasa kecemasan diisytiharkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengangkutan Udara Indonesia, Adi Tri Wibowo, mengesahkan pesawat tersebut disewa oleh kementerian selama beberapa tahun dan sentiasa dikendalikan mengikut keperluan kelayakan udara.
Beliau menegaskan syarikat akan memberikan kerjasama penuh kepada penyiasat untuk mengenal pasti punca sebenar nahas.- AGENSI










