BACHOK: Masalah peribadi dan kesihatan dikenal pasti sebagai punca 18 peratus jemaah terpilih menangguhkan tawaran menunaikan Rukun Islam kelima bagi musim haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, faktor berkenaan mengatasi isu kewangan yang sebelum ini menjadi alasan utama penangguhan.
Menurutnya, peratusan jemaah yang menangguhkan tawaran tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu yang merekodkan hampir 50 peratus, hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Tabung Haji.
“Faktor kesihatan dan peribadi adalah alasan paling tinggi berbanding isu kewangan namun secara keseluruhan peratusan mereka yang menangguhkan ibadah haji itu jauh berkurangan.
“Setakat ini rayuan menunaikan haji bagi mereka yang mahu memohon masih dibuka sehingga Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Rumah Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli memberitahu, pihaknya akan memastikan jemaah yang meminta penangguhan akan diganti dengan jemaah lain.
Katanya, hal ini bagi memastikan kuota yang diberikan itu dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji 2026 berikutan keputusan negara itu untuk mengekalkan kuota sebanyak 31,600 jemaah.-UTUSAN










