Malaysia sedia hidupkan semula perkhidmatan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok

Malaysia sedia hidupkan semula perkhidmatan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok

ANTHONY Loke Siew Fook (lima kiri) bersama Mohd. Nassuruddin Daud (lima kanan) bersama penerima kad konsensi semasa Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST)-Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Malaysia bersedia menghidupkan semula sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang ke Sungai Golok, Thailand dalam memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi dua hala antara negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, projek membaik pulih dan membangunkan semula landasan kereta api sedia ada antara Pasir Mas dan Rantau Panjang itu sudah memasuki peringkat penyediaan dokumen tender.

“Projek tersebut sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan dokumen tender sedang disediakan serta akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Jika semuanya berjalan lancar, projek ini dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST)-Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.

Anthony memberitahu, pelaksanaan sambungan di pihak Thailand bergantung kepada kestabilan politik negara tersebut berikutan pertukaran kerajaan dan menteri pengangkutan dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

“Saya sudah berbincang dengan menteri pengangkutan Thailand sebelum ini dan banyak perkara telah diputuskan.

“Namun, berlaku pertukaran menteri dan Thailand kini menghadapi pilihan raya dalam masa terdekat. Perbincangan lanjut dijangka hanya dapat diteruskan selepas pembentukan kerajaan baharu Thailand,” ujanrya.

Anthony berkata, secara prinsipnya negara itu melalui pengendali kereta api mereka, State Railway of Thailand (SRT), turut menyatakan hasrat untuk menyambung semula laluan tersebut.

“Secara amnya, Thailand memang mahu sambungan ini dilaksanakan. Kerajaan Malaysia pula memang bersedia,” ujarnya.

Utusan Malaysia 22 Januari lalu melaporkan, Kerajaan Thailand sedia mengemukakan cadangan bagi membuka semula laluan kereta api Sungai Golok–Rantau Panjang sebagai usaha memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi antara Malaysia serta negara berkenaan.

Jurutera Penyelia, Bahagian Penambahbaikan Landasan Zon 1 SRT, Pattaphong Boonkaew berkata, langkah itu seiring de­ngan rancangan SRT untuk membina landasan berkembar dari Hat Yai ke Sungai Golok sepanjang 215 kilometer.

Katanya, pembinaan landasan kedua dari Hat Yai ke Sungai Golok itu dianggarkan menelan belanja sehingga 44.9 bilion baht (RM5.8 bilion) dan dijangka mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN