Lepasi paras RM3 trilion bukti daya saing perdagangan Malaysia

Lepasi paras RM3 trilion bukti daya saing perdagangan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencapaian perdagangan Malaysia yang pertama kali melepasi paras RM3 trilion pada tahun lalu membuktikan ketahanan dan daya saing global kukuh negara.

Prestasi cemerlang itu dicapai meskipun negara tidak terkecuali berdepan landskap geopolitik yang mencabar serta penstrukturan semula rantaian bekalan global.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan berkata, prestasi tahun 2025 itu merekodkan nilai tertinggi sepanjang sejarah merangkumi semua tonggak utama perdagangan.

Katanya, jumlah eksport negara mencapai paras tertinggi iaitu sebanyak RM1.607 trilion, meningkat 6.5 peratus, sekali gus mengatasi rekod terdahulu RM1.550 trilion yang dicatatkan pada 2022. Ia juga merupakan tahun kelima berturut-turut eksport Malaysia melepasi paras RM1 trilion.

Peningkatan eksport itu dipacu penghantaran lebih tinggi ke rakan dagang utama termasuk ASEAN yang meningkat 4.5 peratus kepada RM457.62 bilion, Amerika Syarikat meningkat 17.2 peratus kepada RM233.08 bilion, Taiwan melonjak 31.2 peratus kepada RM87.95 bilion dan Kesatuan Eropah meningkat 11.5 peratus kepada RM129.17 bilion.

Bagi jumlah import pula, Malaysia mencatatkan RM1.455 trilion, meningkat 6.2 peratus, menandakan tahun keempat berturut-turut import melepasi RM1 trilion.

Jumlah import ini terdiri daripada barangan perantaraan dan barangan modal yang menyumbang 64.2 peratus. Ia terutamanya bekalan industri diproses, alat ganti dan aksesori barangan modal bukan pengangkutan serta peralatan pengangkutan industri.

Menurut MATRADE, Malaysia turut mencatat lebihan perdagangan sebanyak RM151.80 bilion, meningkat 9.2 peratus berbanding RM139 bilion pada 2024, sekali gus meneruskan rekod lebihan perdagangan selama 28 tahun berturut-turut sejak 1998.

Dalam perkembangan berkaitan, perdagangan Malaysia dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) melepasi RM2 trilion buat pertama kali, merangkumi 65.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

Eksport ke rakan FTA meningkat 3.0 peratus kepada RM1.067 trilion bagi tahun kedua berturut-turut. Negara-negara yang mencatat pertumbuhan eksport Malaysia termasuk Hong Kong, Mexico, Kanada dan Chile.

Eksport ke pasaran sedang pesat membangun turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan, termasuk ke Kenya, Nigeria, Tanzania, Togo, Yemen, Algeria, Uzbekistan, Angola, Puerto Rico dan Kyrgyzstan dengan beberapa pasaran merekodkan nilai eksport tertinggi pernah dicapai.

Antara eksport utama negara ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit, produk petroleum, produk kayu serta produk elektrik dan elektronik (E&E).

Mengulas pencapaian tersebut, Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kepimpinan dan sokongan dasar yang berterusan.

Katanya, lawatan rasmi peringkat tinggi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke rantau Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah telah membuka peluang baharu kepada hubungan ekonomi serta peluasan akses pasaran eksport Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang baharu dilantik, Datuk Seri Johari Abdul Ghani atas peranan memacu pertumbuhan eksport komoditi utama negara, khususnya sawit, semasa memegang jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Menurut beliau, eksport sawit dan produk berasaskan minyak sawit yang menyumbang 7.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia meningkat 9.2 peratus kepada RM124.86 bilion pada 2025.

Ia didorong oleh harga eksport yang lebih tinggi serta pengembangan ke pasaran utama dan baharu termasuk India, China, Turkiye, Afghanistan serta beberapa negara di Afrika.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, pihaknya akan terus komited menyokong komuniti perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran global melalui program promosi dan pembangunan eksport.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan di bawah Jawatankuasa JK-X yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara turut membantu memperkemas pelaksanaan promosi perdagangan luar negara menerusi kerjasama erat antara kementerian dan agensi berkaitan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN