SEOUL: Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dari pantai timurnya pada Ahad, hanya beberapa jam sebelum pemimpin Korea Selatan berlepas ke China untuk menghadiri satu sidang kemuncak.
Pelancaran itu turut berlaku selepas operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap sekutu sosialis Pyongyang, Venezuela, dan menangkap Presiden Nicolas Maduro.
Kementerian Pertahanan Seoul memaklumkan, pihaknya mengesan beberapa projektil, dipercayai peluru berpandu balistik dilancarkan dari kawasan berhampiran ibu negara Pyongyang sekitar pukul 7.50 pagi waktu tempatan.
“Pasukan tentera mengekalkan tahap kesiapsiagaan penuh, sambil meningkatkan pengawasan terhadap kemungkinan pelancaran tambahan,” kata Seoul.
Kementerian Pertahanan Jepun turut memaklumkan mengesan kemungkinan sebuah peluru berpandu balistik, yang dilaporkan mendarat di lokasi tidak dinyatakan sekitar pukul 8.08 pagi waktu tempatan.
Ini merupakan pelancaran peluru berpandu balistik pertama Pyongyang sejak November lalu, ketika ia mengadakan ujian selepas Presiden AS, Donald Trump, meluluskan rancangan Korea Selatan membina kapal selam berkuasa nuklear.
Penganalisis berkata, operasi ketenteraan Trump terhadap Venezuela pada Sabtu, kemungkinan memainkan peranan dalam keputusan Korea Utara melancarkan peluru berpandu tersebut.
“Mereka mungkin bimbang jika AS boleh melancarkan serangan tepat pada bila-bila masa, mengancam kelangsungan hidup rejim itu,” kata penganalisis di Institut Penyatuan Negara Korea, Hong Min.
Pyongyang selama beberapa dekad berhujah ia memerlukan program nuklear dan peluru berpandunya sebagai penangkis usaha Washington untuk menyingkirkan rejimnya.
AS bagaimanapun berulang kali memberi jaminan ia tidak mempunyai rancangan demikian.- AFP










