JAKARTA: Angka kematian akibat kejadian tanah runtuh yang melanda wilayah Jawa Barat, Indonesia pada hujung minggu lalu meningkat kepada 17 orang setakat Isnin, manakala puluhan lagi mangsa dilaporkan masih hilang.
Bencana yang melanda kawasan perumahan di wilayah Bandung Barat pada awal pagi Sabtu, berpunca daripada hujan lebat yang bermula sehari sebelumnya.
Agensi kaji cuaca memberi amaran keadaan cuaca buruk itu dijangka berlarutan di wilayah tersebut dan beberapa kawasan lain untuk tempoh seminggu lagi.
Kampung Pasir Langu yang terjejas terletak di kawasan berbukit, kira-kira 100 kilometer ke tenggara ibu kota Indonesia, Jakarta.
Menurut agensi pengurusan bencana, lebih daripada 30 rumah tertimbus sepenuhnya dalam kejadian itu.
Jurucakap agensi, Abdul Muhari, memberitahu Reuters pada Isnin sekurang-kurangnya 17 orang disahkan maut, manakala 73 lagi mangsa masih belum ditemukan.
Pihak berkuasa memaklumkan pada Ahad kejadian tanah runtuh berskala kecil yang berulang serta faktor cuaca buruk telah menghalang operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pasukan penyelamat kini menggunakan dron dan jentera berat bagi mempercepatkan pencarian di kawasan terjejas.
Minggu lalu, banjir kilat turut melanda beberapa bahagian di Indonesia termasuk Jawa Barat dan Jakarta, sehingga memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
Tragedi ini berlaku hanya dua bulan selepas bencana banjir dan tanah runtuh akibat siklon di pulau Sumatera yang meragut 1,200 nyawa, memusnahkan kediaman, serta menyebabkan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal.- AGENSI










