NEW YORK: Bilangan kes influenza di Amerika Syarikat (AS) meningkat mendadak pada bulan lalu, susulan musim selesema paling teruk sejak 2018.
Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), lebih 3,100 kematian akibat virus itu dilaporkan di AS pada tahun yang berakhir pada Ogos 2025.
Pakar epidemiologi dari Universiti Brown, Jennifer Nuzzo, menasihatkan orang ramai yang belum menerima vaksin selesema untuk segera berbuat demikian.
“Kesimpulannya, jika mereka belum mendapat vaksin selesema, mereka harus mendapatkan vaksin, terutamanya kanak-kanak dan warga emas,” kata Nuzzo.
Lonjakan kes berlaku selepas musim selesema 2024-2025 yang merupakan paling teruk sejak 2018, menurut CDC.
Musim lalu juga mencatat 279 kematian kanak-kanak berkaitan influenza, jumlah tertinggi dilaporkan kepada agensi itu semasa wabak selesema bermusim.
Tahun ini, varian baharu, subclade K, muncul dan musim selesema bermula lebih awal daripada biasa di Eropah, dengan aktiviti influenza yang tinggi atau sangat tinggi pada Disember di rantau tersebut.
Di AS pula, dianggarkan 7.5 juta kes influenza dan 81,000 kemasukan ke hospital direkodkan sehingga 20 Disember, meningkat 25 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Sebanyak 32 negeri melaporkan jumlah penyakit selesema yang tinggi atau sangat tinggi.
“Musim ini mungkin lebih teruk kerana lebih ramai memerlukan rawatan yang mungkin melebihi kapasiti hospital,” kata Nuzzo.- THE GUARDIAN










