KOTA BHARU: Kerajaan Sarawak menerusi memperuntukkan sumbangan berjumlah RM1 juta untuk membangunkan asrama baharu pelajar lelaki Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP).
Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Biro Pendidikan Islam Sarawak (BPIS) itu sekali gus memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan penuntut institusi berkenaan.
Menurutnya, pembangunan asrama baharu itu dilihat sebagai langkah strategik dalam menyediakan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif, khususnya kepada pelajar lelaki.
“Kerja-kerja dakwah ini dilaksanakan atas dasar kesukarelaan dan semangat sukarelawan amat penting dalam membentuk jati diri pelajar.
“Yang lebih utama adalah membangunkan keperibadian Islam yang mampu melahirkan minda universal dan berfikiran terbuka,” katanya pada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Kali Ke-29 di Dewan Utama Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak memberitahu, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan sebanyak RM20,000 kepada Perkim Kelantan.
Katanya,sumbangan tersebut diharap dapat memperkukuh peranan Perkim kepada masyarakat serta pembangunan ummah di peringkat nasional dan antarabangsa.-UTUSAN










