Kerajaan negeri jamin bela nasib penduduk setinggan Bukit Lagi - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri jamin bela nasib penduduk setinggan Bukit Lagi

KAWASAN penempatan yang telah diduduki secara tidak sah sejak lebih 20 tahun lalu di Bukit Lagi, Kangar, Perlis -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri memberi jaminan membela nasib penduduk di penempatan setinggan Bukit Lagi di sini yang telah diduduki secara tidak sah sejak lebih 20 tahun lalu.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, buat masa ini, isu penempatan itu telah dibincangkan, malah kerajaan negeri juga akan memanggil kira-kira 15 penduduk terlibat menduduki tanah itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil ketetapan berhubung perkara tersebut dan membuat pengumuman rasmi selepas ini.

“Kita akan buat keputusan agar semua pihak dapat bersetuju dan bincangkan kaedah-kaedah berhubung notis pengosongan yang diberikan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) pada 18 Januari lalu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 18 Disember lalu melaporkan Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan mengambil tindakan pengusiran di penempatan setinggan Bukit Lagi di sini yang diduduki secara tidak sah sejak berpuluh tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail dilaporkan berkata, notis pengosongan tanah tersebut akan dikeluarkan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara.

Ujar Abu Bakar, kawasan penempatan yang bakal dirobohkan adalah merupakan lokasi Geotapak malah turut mempunyai sejarah tersendiri.

“Jadi jika tiada lagi penghuni di sana, ia akan mudahkan kerajaan negeri untuk bangunkan kawasan itu bagi perancangan seterusnya.
Oleh itu, kita akan laksanakan beberapa perkara yang boleh memuaskan hati kedua-dua belah pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN