PETALING JAYA: Pengusaha kebun durian menggesa kerajaan membantu dalam peralihan kepada kebun durian moden yang lebih tersusun dan mampan.
Langkah tersebut dilihat sebagai langkah penyelesaian bagi menstabilkan industri durian yang kini berdepan isu lambakan, kualiti tidak seragam dan kebergantungan kepada orang tengah.
Seorang pekebun durian sepenuh masa, Zurfahiz Hussin, 47, berkata, ketiadaan hala tuju jelas dalam industri durian menyebabkan petani masih terikat dengan sistem pengredan dan harga pasaran yang sepenuhnya dikawal peraih.
Menurutnya, sokongan diperlukan bukan sekadar bantuan input, sebaliknya pemindahan ilmu secara berstruktur bagi membolehkan petani beralih daripada kaedah tradisional kepada pengurusan kebun moden.
“Ramai petani tidak gagal kerana sikap tetapi kerana mereka tiada panduan sistematik merangkumi perancangan pembuahan, pengurusan nutrien dan kawalan penyakit berasaskan data.
“Kerajaan justeru perlu membangunkan standard pengurusan kebun durian moden bagi membina kepercayaan pasaran, khususnya negara pengimport terhadap aspek keselamatan makanan dan penggunaan racun.
“Cadangannya adalah dengan pewujudan ladang contoh sebenar atau model farm yang berfungsi secara komersial, bukan sekadar ladang demonstrasi sementara tetapi untuk menjadi rujukan langsung kepada petani,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, pekebun durian perlu melihat dan mempraktik sendiri pengurusan moden di lapangan untuk memastikan kefahaman dan pelaksanaan yang berkesan bukan hanya melalui penganjuran seminar.
Menurut Zurfahiz, pematuhan kepada pensijilan seperti MyGAP juga perlu diperkukuh agar hanya buah yang berkualiti dan selamat dibenarkan memasuki rantaian pasaran.
Sementara itu, beliau juga menekankan akses kepada data cuaca, tanah dan agronomi yang tepat memainkan peranan penting bagi membolehkan petani menyusun semula musim pembuahan dan mengurangkan risiko lambakan.
Dalam aspek kewangan pula, katanya, sokongan perlu bersifat bersasar bagi membantu kos peralihan sistem seperti pengairan, pemantauan pokok dan pemangkasan berdisiplin, bukan hanya subsidi baja semata-mata.
“Saya harap ada cadangan insentif peralihan oleh kerajaan seperti geran kecil atau potongan cukai kepada kebun yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) moden termasuk pengurusan nutrien berdata dan sistem pengairan cekap,” katanya.
Menurutnya, dasar kualiti dan penggredan yang jelas perlu diwujudkan supaya pasaran memberi ganjaran kepada kualiti, bukan kuantiti semata-mata.
Dalam pada itu, Zurfahiz berkata, penghasilan klon durian baharu yang lebih menarik dan tahan penyakit wajar dipergiat bagi meningkatkan daya saing industri.
“Sokongan teknologi seperti data hujan, sistem amaran penyakit dan integrasi IoT di ladang mampu mempercepatkan transformasi pengurusan kebun.
“Kerajaan tidak perlu menjadikan semua kebun berteknologi tinggi, sebaliknya memastikan petani mencapai tahap minimum pengurusan moden demi kestabilan, keselamatan dan daya saing jangka panjang industri durian negara,” katanya. – UTUSAN








