WASHINGTON: Kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) berpotensi ditutup minggu ini, selepas Republikan dan Demokrat bertelagah mengenai pembiayaan untuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) susulan tembakan maut ejen Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di Minnesota.
Demokrat di Senat menyatakan mereka tidak akan memberikan undi yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang DHS bernilai AS$64.4 billion (RM254.63 billion).
Demokrat turut menyeru Republikan memisahkan rang undang-undang itu daripada pakej belanjawan lebih besar yang turut membiayai lima sektor lain hingga 30 September, termasuk pertahanan, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, dan perumahan. Pembiayaan semasa untuk program-program ini tamat selepas tengah malam Jumaat.
Lapor Reuters, Republikan di Senat yang menguasai dewan dengan majoriti 53-47 kerusi, tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mengalah kepada Demokrat, sementara Rumah Putih menyeru ahli-ahli kongres meluluskan keseluruhan pakej untuk mengelakkan penutupan agensi persekutuan.
Perdebatan baharu ini tercetus hanya tiga bulan selepas penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah AS berakhir pada November lalu.
“Kami bersedia untuk memajukan lima rang undang-undang peruntukan secara berasingan daripada rang undang-undang pembiayaan DHS. Jika tidak, Republikan akan sekali lagi bertanggungjawab atas penutupan kerajaan,” kata Pemimpin Senat Demokrat, Chuck Schumer.
Pada Isnin, Republikan meletakkan keseluruhan pakej pembiayaan pada kalendar legislatif untuk pertimbangan lewat minggu ini, sementara kedua-dua pihak berusaha mencapai persetujuan secara tertutup.
Pakej pembiayaan yang diluluskan Dewan Rakyat dikawal Republikan minggu lalu, dilihat dalam landasan untuk diluluskan di Senat namun terbantut Sabtu lalu apabila pegawai ICE menembak mati warga AS kedua, Alex Pretti, 37, di Minneapolis.
Demokrat di Senat, termasuk ahli yang sebelum ini memecahkan disiplin parti untuk menamatkan penutupan kerajaan tahun lalu berkata, mereka tidak dapat menyokong pembiayaan lanjut untuk DHS tanpa reformasi bagi melindungi keselamatan rakyat dan mengelakkan tragedi seperti di Minneapolis merebak ke seluruh negara.
Seorang pembantu kepimpinan Demokrat di Senat berkata, Republikan dan Rumah Putih menghubungi mereka, tetapi tidak mengemukakan sebarang penyelesaian yang realistik.










