KANGAR: Seramai 1,592 orang pesawah membabitkan keluasan 1,369 hektar di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini terjejas ekoran cuaca kering atau kemarau yang berlarutan sejak sebulan lalu.
Selain pesawah, tanaman harum manis juga dijangka terkesan dengan dianggarkan antara 40 sehingga 70 peratus potensi hasil buah itu boleh terjejas sekiranya kemarau berlaku berterusan semasa peringkat berbunga dan awal pembentukannya.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, pihak jabatan telah menggerakkan pegawai kawasan pengembangan tanaman untuk membantu petani terkesan antaranya menggerakkan bantuan pam sebanyak 39.
Beliau berkata, selain itu, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang telah membekalkan pam sebanyak 40 unit di kawasan-kawasan yang terjejas.
“Pihak JPS juga telah melepaskan tambahan air empangan bermula 24 Disember 2025 sebanyak 10 peratus bukaan untuk dua pintu dan akan meningkatkan kepada 20 peratus bukaan bermula hari ini. Bukaan air berkenaan dijangka dapat sampai ke kawasan Paya di sini seperti di Sempering, Jejawi dan kawasan sekitar dalam tempoh beberapa hari.
“Selain itu, jabatan dan agensi juga menggerakkan pegawai untuk memantau keperluan dan persediaan awal bencana bagi tabung bencana tanaman padi dan skim takaful tanaman padi. Petani diminta untuk segera berdaftar bagi skim berkenaan di bawah Agrobank dengan merujuk cawangan Agrobank dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kawasan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, belum reda terkesan banjir besar pada November lalu, Perlis kini berdepan pula kemarau atau keadaan cuaca kering yang menyaksikan kawasan pertanian terutama tanaman padi di negeri ini mula kering-kontang dan merekah.
Cuaca panas di Perlis yang mencecah 32 sehingga 34 darjah celsius itu sudah berlarutan sejak sebulan lalu dan dijangka berpanjangan sehingga Mac dengan kerajaan negeri kini bersiap sedia berdepan fenomena tersebut.
Di kawasan tanaman padi di Repoh dan Kampung Jejawi Dalam antaranya menyaksikan 200 pesawah di kawasan seluas kira-kira 380 hektar itu terjejas apabila sawah mereka kering-kontang dan keadaan tanah pula merekah.-UTUSAN.










