KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 430 kilogram (kg) minyak masak polibeg bersubsidi dianggarkan bernilai RM1,075 menerusi serbuan ke atas sebuah premis kedai runcit sekitar Kangar, semalam.
Serbuan sekitar pukul 6 petang itu dilaksanakan hasil aduan awam berhubung tindakan kedai terbabit yang didakwa menjual minyak masak polibeg bersubsidi 1kg kepada pelanggan dengan mengenakan syarat tertentu.
Pengarah KPDN negeri, Rohaida Hassan berkata, menerusi tindakan awal, anggota berpakaian preman telah diarahkan ke kedai terbabit bagi melakukan uji beli susulan daripada aduan tersebut.
“Ketika uji beli dilakukan, pemilik premis telah menyatakan bahawa pengguna perlu membeli barangan lain terlebih dahulu sebelum dapat membeli minyak masak polibeg bersubsidi 1 kg tersebut.
“Anggota penguatkuasa yang berpakaian preman itu kemudiannya membuat pembelian barangan lain terlebih dahulu sebelum dapat membeli minyak masak polibeg bersubsidi 1 kg di premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Rohaida berkata, hasil tindakan uji beli tersebut kemudiannya turut disalurkan kepada pasukan serbuan yang kemudiannya telah ke premis berkenaan dan menerangkan tujuan pemeriksaan.
Katanya, sehubungan itu, pasukan serbuan turut menyita 430 kg minyak masak polibeg bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,075 untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN memberi amaran tindakan tegas akan di ambil ke atas pihak yang cuba menjual minyak masak polibeg 1kg bersubsidi dengan mengenakan apa-apa syarat,” katanya.-UTUSAN










