NEW YORK: Penduduk di sebahagian besar Amerika Syarikat (AS) terpaksa mengharungi satu lagi malam dengan suhu di bawah paras beku tanpa bekalan elektrik selepas ribut musim sejuk yang dahsyat melanda wilayah Timur Laut dengan salji tebal pada Isnin, selain menyebabkan kawasan di selatan diselaputi ais.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 29 kematian dilaporkan di negeri-negeri yang terjejas akibat cuaca sejuk melampau itu.
Timbunan salji setebal lebih 30 sentimeter (cm) yang meliputi kawasan sepanjang 2,100 kilometer dari Arkansas hingga ke New England melumpuhkan lalu lintas, menyebabkan pembatalan penerbangan dan memaksa penutupan sekolah secara meluas semalam.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memaklumkan kawasan di utara Pittsburgh menerima salji sehingga 50cm dengan faktor angin sejuk mencecah -31°C bermula lewat Isnin hingga Selasa.
Keadaan cuaca buruk yang menjejaskan dua pertiga wilayah AS ini dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Pihak kaji cuaca menjangkakan kemasukan udara Artik yang baharu akan mengekalkan suhu beku di kawasan yang sudah sedia diliputi salji dan ais, malah dijangkakan satu lagi ribut musim sejuk akan melanda bahagian Pantai Timur pada hujung minggu ini.
Angka kematian yang semakin meningkat melibatkan pelbagai insiden tragis, termasuk dua individu yang dilanggar jentera pembajak salji di Massachusetts dan Ohio, kemalangan luncur salji maut di Arkansas dan Texas, serta penemuan mayat seorang wanita yang tertimbus salji di Kansas.
Di New York City, pihak berkuasa mengesahkan lapan individu ditemukan mati di kawasan luar bangunan sepanjang hujung minggu yang membeku itu.
Masalah gangguan bekalan elektrik turut memuncak dengan lebih 670,000 pengguna terputus bekalan sehingga petang Isnin, menurut data daripada poweroutage.com.
Kebanyakan gangguan berlaku di wilayah selatan selepas hujan beku menyebabkan dahan pokok patah dan memutuskan talian elektrik, sekali gus melumpuhkan kawasan utara Mississippi dan sebahagian Tennessee.
Wilayah Mississippi kini bergelut dengan kesan ribut ais terburuk sejak tahun 1994, di mana pihak berkuasa berusaha keras menyediakan katil, selimut, air botol, dan generator ke pusat-pusat pemanasan.
Di Universiti Mississippi, sesi perkuliahan bagi seluruh minggu telah dibatalkan memandangkan kampus Oxford masih diselaputi ais yang berbahaya dan sebahagian besar pelajar terpaksa berkurung tanpa bekalan elektrik.
Datuk Bandar Oxford, Robyn Tannehill, menyifatkan kerosakan yang berlaku adalah amat teruk dengan dahan pokok dan talian elektrik yang tumbang di hampir setiap jalan seolah-olah kawasan itu baru sahaja dilanda puting beliung.
Sektor penerbangan turut terjejas teruk dengan lebih 11,000 kelewatan dan pembatalan penerbangan dicatatkan di seluruh negara pada Isnin. Malah pada Ahad, sebanyak 45 peratus penerbangan di AS telah dibatalkan,mencatatkan kadar pembatalan harian tertinggi sejak pandemik COVID-19 menurut firma analitik penerbangan, Cirium.
Sementara itu, New York City mencatatkan hari paling bersalji dalam tempoh beberapa tahun dengan ketebalan antara 20cm hingga 38cm.
Walaupun sekolah awam ditutup secara fizikal, kira-kira 500,000 pelajar diarahkan untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.
Sistem sekolah awam terbesar di negara itu kini tidak lagi memberikan cuti salji sepenuhnya selepas pembelajaran jarak jauh mula dipraktikkan secara meluas sejak pandemik Covid-19.- AGENSI










