Jerebu: Bangkok syor kerja dari rumah

Jerebu: Bangkok syor kerja dari rumah

KUIL Wat Saket kelihatan di tengah-tengah tahap pencemaran udara sederhana di Bangkok.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) meminta agensi kerajaan dan syarikat swasta membenarkan kakitangan bekerja dari rumah pada 12 dan 13 Januari, apabila kualiti udara dijangka berada pada tahap terburuk dalam pusingan terbaharu pencemaran PM2.5 di ibu negara Thailand.

Menurut amaran terbaharu, BMA berkata tahap zarah halus PM2.5 dijangka di Bangkok dari 9 hingga 17 Januari disebabkan oleh pengudaraan yang rendah, seperti diramalkan Jabatan Meteorologi.

BMA menganggarkan PM2.5 akan kekal pada tahap risiko sederhana dari 9 hingga 11 Januari, dan golongan berisiko tinggi dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar serta memakai topeng penapis udara ketika berada di tempat terbuka.

Katanya, kualiti udara dijangka bertukar kepada merah iaitu berisiko tinggi dari 12 hingga 15 Januari kerana kadar pengudaraan kekal rendah, yang membawa kepada peningkatan PM2.5 di beberapa daerah, terutama pada waktu malam.

Menurut BMA, pengudaraan dijangka mula bertambah baik pada 16 dan 17 Januari, tetapi PM2.5 yang terkumpul dijangka mengekalkan kualiti udara pada tahap jingga.

Bagi menangani pusingan baharu kualiti udara yang buruk, BMA berkata, ia akan mengumumkan zon pelepasan rendah yang meliputi kesemua 50 daerah untuk menyekat trak besar daripada memasuki ibu negara.

BMA berkata, pihaknya juga akan meningkatkan pemeriksaan enjin dan menguatkuasakan had 20 peratus kelegapan asap untuk kenderaan, terutama trak, bas dan kenderaan yang masuk atau keluar dari kawasan pembinaan.

Tempoh dua hari bekerja dari rumah yang dicadangkan akan membantu mengurangkan perjalanan dan pelepasan ekzos kenderaan semasa puncak pencemaran dijangka berlaku, katanya.

Ia juga memberi amaran tahap kualiti udara pada 16 dan 17 Januari boleh merosot daripada jingga kepada merah jika pengudaraan tidak bertambah baik seperti yang dijangkakan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN