KOTA BHARU: Isu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas tidak wajar sama sekali dibangkitkan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini kerana parti itu sedang berada dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil, berfungsi dan memiliki kuasa mentadbir negara.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain menegaskan, UMNO tidak seharusnya terperangkap dalam polemik politik yang hanya melemahkan parti.
Katanya, UMNO mesti memanfaatkan kedudukan dalam kerajaan untuk membela kepentingan rakyat serta masa depan orang Melayu.
“UMNO hari ini ada kuasa. Bila ada kuasa, kita bekerja. Bukan sibuk berpolitik tanpa arah sehingga mengorbankan kestabilan negara.
“Isu menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan tidak perlu dibangkitkan selagi UMNO masih mempunyai ruang, peranan dan pengaruh dalam pentadbiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Wan Mahussin, UMNO hanya wajar mencari gabungan baharu sekiranya parti itu benar-benar kehilangan kuasa, bukan ketika sedang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi.
Katanya, UMNO bukan parti yang ditubuhkan untuk menyelamatkan kepentingan individu tertentu, sebaliknya sebuah wadah perjuangan bangsa Melayu yang tidak boleh dikorbankan kerana ego atau sentimen sempit.
“UMNO bukan parti menyelamatkan individu. UMNO ditubuhkan untuk menyelamatkan bangsa. Jangan gadaikan masa depan orang Melayu hanya kerana kepentingan diri sendiri,” ujarnya.
Mengulas PAU yang bakal berlangsung, Wan Mahussin berkata persidangan itu sepatutnya menjadi medan memperkukuh peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN










