Israel setuju buka lintasan Rafah tetapi bersyarat

Israel setuju buka lintasan Rafah tetapi bersyarat

TRAK yang sarat dengan bantuan kemanusiaan terkandas di lintasan Rafah sebelah Mesir untuk masuk ke Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel akan membuka semula lintasan Rafah di Gaza yang menghubungkan Mesir untuk pergerakan orang ramai hanya selepas operasi mencari mayat tebusan terakhir di wilayah itu selesai.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan pada Ahad mendakwa pembukaan lintasan itu bergantung kepada pemulangan semua tebusan yang masih hidup dan usaha 100 peratus pihak Hamas untuk mencari serta memulangkan semua tebusan meninggal dunia.

Pada awal Ahad, Hamas berkata pihaknya menyerahkan lokasi askar Israel, Ran Gvili, tebusan terakhir di Gaza, selaras dengan permulaan fasa kedua gencatan senjata di wilayah itu.

Jurucakap Briged al-Qassam, Abu Obeida, dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu menyerahkan lokasi mayat Gvilii dengan ketelusan mutlak dan memenuhi semua kewajiban mengikut perjanjian gencatan senjata.

“Bekerja dalam keadaan kompleks dan hampir mustahil, kami berjaya memulihkan dan menyerahkan mayat tahanan musuh dengan pengetahuan penuh daripada pengantara,” katanya.

Sempadan itu sepatutnya dibuka dalam fasa awal rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menamatkan perang, di bawah gencatan senjata yang dicapai pada Oktober antara Israel dan Hamas.

Tentera Israel pada Ahad mendakwa, mereka melancarkan ‘operasi bersasar’ di utara Gaza untuk mendapatkan kembali mayat itu, manakala seorang pegawai tentera Israel berkata terdapat beberapa petunjuk risikan mengenai lokasi kemungkinan lokasinya.

“Tentera Israel kini sedang menjalankan operasi bersasar untuk meneliti semua maklumat risikan yang dikumpulkan dalam usaha mencari dan memulangkan tebusan yang gugur, Sarjan Mejar Ran Gvili,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan kelmarin.

Kenyataan itu menambah apabila operasi tersebut selesai, Israel akan membuka lintasan Rafah.

“Sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara Presiden Trump, Israel bersetuju untuk pembukaan semula terhad lintasan Rafah bagi pergerakan pejalan kaki sahaja, tertakluk kepada mekanisme pemeriksaan penuh oleh Israel,” kata pejabat itu.

Lintasan itu merupakan satu-satunya laluan masuk atau keluar dari Gaza bagi hampir semua daripada lebih dua juta penduduk yang tinggal di wilayah tersebut.

Bahagian Gaza di lintasan itu berada di bawah kawalan tentera Israel sejak 2024.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN