KUANTAN: Usaha golongan transgender mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah seperti mengaji al-Quran, menunaikan umrah dan haji tidak bercanggah dengan prinsip syariah, malah diterima sebagai amalan sah dalam Islam.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, semua umat Islam yang akil baligh, waras dan merdeka boleh menunaikan umrah atau haji, tidak kira apa dosa yang pernah dilakukannya.
Malah beliau menegaskan, ibadah kanak kanak yang mumayyiz dikira sah walau tidak menghilang kewajipan selepas baligh.
“Cuma keutamaan dalam beribadah tetap ada. Pertama, bertaubat kerana Allah SWT maha penerima taubat. Bertaubat nasuha bermaksud meninggalkan kesalahan lama dan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak ulanginya.
“Kedua, jaga solat dan jangan tinggal sebab ia adalah tiang agama. Tanpa tiang ini, agama akan runtuh dalam diri seseorang. Ibadah solat ini, untuk diterima oleh Allah SWT, kena ikut rukun dan syaratnya termasuk menutup aurat mengikut asal kejadian kita, lelaki atau wanita.
“Bukan jantina yang kita ubah selepasnya. Jika tidak, solat kita belum sah dan tidak diterima Allah SWT.
“Ketiga, jika berkemampuan wajib menunaikan haji dan umrah pertama yang wajib. Ibadah ini pun wajib ditunaikan mengikut cara jantina asli yang Allah SWT jadikan seseorang. Lelaki tak boleh pakai cara wanita dalam ibadah, begitulah sebaliknya.
“Jika masih ada kecenderungan pelik sebegitu, jumpalah pakar psikologi Islam, dapatkan bimbingan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, golongan transgender melihatkan mak nyah dan individu pernah terlibat hubungan sesama jantina mengakui mereka insan biasa serta mempunyai keinginan untuk berubah, meskipun sebahagian sudah melalui kehidupan lampau yang panjang dalam gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.
Namun apa diharapkan sokongan masyarakat bagi membantu mereka menguatkan tekad untuk meninggalkan segala amalan lampau bukan dengan cara menghukum dan cercaan.-UTUSAN.










