Iran di ambang peperangan?

Iran di ambang peperangan?

HELIKOPTER MH-60R Sea Hawk yang bernaung di dibawah Skuadron 71 diterbangkan selepas kumpulan serangan kapal induk USS Abraham Lincoln tiba di rantau Asia Barat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali meningkat selepas Washington mengerahkan armada ke rantau Asia Barat, ketika Teheran memberi amaran bersedia melancarkan serangan balas terhadap sebarang tindakan ketenteraan negara itu.

Aset utama kumpulan serangan kapal induk USS Abraham Lincoln milik AS dan kapal pengiringnya tiba di Asia Barat kelmarin, sekali gus meningkatkan kehadiran ketenteraan di rantau tersebut.

Ancaman AS dibuat susulan tindakan keras kerajaan Iran terhadap gelombang protes antikerajaan yang sedang melanda negara tersebut.

Protes bermula pada akhir Disember, dipacu oleh masalah ekonomi, sebelum berkembang menjadi gerakan besar menentang Republik Islam Iran. Demonstrasi jalanan besar-besaran berlaku selama beberapa hari bermula 8 Januari lalu.

Penghantaran kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln dilihat meningkatkan dengan ketara keupayaan ketenteraan AS di rantau Asia Barat.

Komando Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan kumpulan itu tiba di Asia Barat dan menyatakan kehadirannya adalah bagi menggalakkan keselamatan dan kestabilan serantau.

Kehadiran Abraham Lincoln membawa kekuatan tempur melalui Sayap Udara Kapal Induk (CVW) 9 serta tiga kapal pemusnah USS Frank E. Petersen Jr. (DDG-121), USS Spruance (DDG-111) dan USS Michael Murphy (DDG-112).

Berdasarkan imej Pentagon, Abraham Lincoln beroperasi di Lautan Hindi sekurang-kurangnya sejak 20 Januari. Kumpulan serangan kapal induk itu turut dilaporkan melintasi Selat Melaka sehari sebelumnya.

Abraham Lincoln berlepas dari San Diego, California, pada 21 November dan beroperasi di Laut Filipina sebelum singgah di Guam pada 11 Disember.

Selepas itu, kumpulan berkenaan beroperasi di Laut China Selatan, menurut imej yang dikeluarkan Tentera Laut AS.

Ini merupakan kali ketiga kumpulan penyerang yang dikerahkan ke Indo-Pasifik dialihkan ke Asia Barat akibat ketidakstabilan di rantau tersebut.

Pelepasan Abraham Lincoln baru-baru ini dari Laut China Selatan menjadikan USS George Washington satu-satunya kapal pengangkut AS yang berada di rantau berkenaan. George Washington kini menjalani penyelenggaraan di Yokosuka, Jepun.

AS sebelum ini menyokong dan turut serta secara singkat dalam perang selama 12 hari antara Israel dan Iran pada Jun lalu. Walaupun Trump kelihatan mengendurkan ancaman campur tangan ketenteraan baharu, beliau tidak pernah menolak sepenuhnya pilihan itu.

IKRAR TINDAK BALAS

Kementerian Luar Iran memberi amaran akan memberikan tindak balas menyeluruh dan menyebabkan ‘penyesalan’ terhadap sebarang pencerobohan.

Jurucakap kementerian, Esmaeil Baghaei berkata, kehadiran kapal perang tersebut tidak akan menjejaskan keazaman Iran untuk mempertahankan negaranya, malah bakal memberikan tindak balas menyeluruh dan menyebabkan ‘penyesalan’ terhadap sebarang pencerobohan.

Di Dataran Enghelab, Teheran, papan iklan anti-Amerika baharu dipasang yang menggambarkan sebuah kapal pengangkut pesawat AS dimusnahkan manakala darah mengalir di laut membentuk bendera AS bersama mesej dalam bahasa Parsi dan Inggeris membawa maksud tindakan provokatif akan dibalas dengan akibat yang dahsyat.

Seorang pegawai kanan tentera Iran memberitahu televisyen negara, peningkatan jumlah kekuatan tentera asing tidak akan menjadi penghalang, sebaliknya menjadikan mereka sasaran mudah.

Sekutu Iran dikenali sebagai ‘paksi penentangan’ yang tidak bertindak semasa perang Jun lalu, kini memberi isyarat akan menyerang kepentingan AS dan Israel jika konflik baharu tercetus.

Di Lubnan, kumpulan Hezbollah mengadakan perhimpunan menyokong Iran. Pemimpinnya, Naim Qassem memberi amaran perang terhadap Iran kali ini akan membakar seluruh rantau itu.

Ketua kumpulan Kataib Hezbollah di Iraq yang disokong Iran, Abu Hussein al-Hamidawi turut mengeluarkan kenyataan keras pada Isnin, memberi amaran tentang ‘perang total’ sekiranya AS bertindak agresif.

Kumpulan Houthi di Yemen turut mengeluarkan video yang memaparkan kapal perang AS dan kapal dagang yang pernah diserang sebelum ini, menandakan sasaran tersebut boleh diserang semula walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata di Gaza yang sebelum ini berjaya menghentikan serangan.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE), jiran Iran di Teluk dan tuan rumah kepada sebuah pangkalan udara AS, menegaskan tidak akan membenarkan serangan terhadap Iran dilancarkan dari wilayahnya.

Dalam masa sama, Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) seperti dilakukan Kanada dan AS sebagai organisasi pengganas susulan undian di Parlimen Eropah.

Presiden AS, Donald Trump pada Isnin berkata, Iran mahu mencapai perjanjian dengan Washington, walaupun Washington mengerahkan lebih banyak aset ketenteraan ke rantau itu.

Dalam temu bual dengan laman berita Axios, Trump berkata, situasi dengan Iran masih tidak menentu, sambil merujuk kepada ketibaan armada besar berhampiran Iran.

“Mereka mahu membuat perjanjian. Saya tahu perkara itu. Mereka telah menghubungi banyak kali. Mereka mahu berbincang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN