JAKARTA: Indonesia menyekat sementara chatbot milik Elon Musk,Grok, berikutan risiko kandungan lucah yang dijana AI, menjadikan negara itu yang pertama menyekat akses kepada alat AI tersebut.
Tindakan itu dibuat selepas kerajaan dan pengawal selia dari Eropah hingga Asia mengecam, dan sebahagian membuka siasatan terhadap kandungan seksual dalam aplikasi tersebut.
xAI, syarikat baharu di sebalik Grok, mendakwa pihaknya mengehadkan penjanaan dan penyuntingan imej kepada pengguna berbayar ketika berusaha membaiki kelemahan keselamatan yang membenarkan kandungan seksual, termasuk imej kanak-kanak berpakaian seksi.
“Kerajaan memandang serius amalan deepfake seksual tanpa persetujuan sebagai satu pelanggaran hak asasi manusia, maruah, dan keselamatan rakyat di ruang digital,” kata Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid, dalam satu kenyataan.
Kementerian itu juga memanggil pegawai X untuk membincangkan isu berkenaan.
Elon Musk berkata di X, sesiapa yang menggunakan Grok untuk menghasilkan kandungan haram akan menghadapi akibat yang sama seperti jika mereka memuat naik kandungan haram tersebut.
Indonesia, negara dengan populasi umat Islam terbesar di dunia, mempunyai peraturan ketat yang melarang perkongsian dalam talian bagi kandungan yang dianggap lucah.- AGENSI










