Hampir dua juta korban tentera dalam perang Ukraine

Hampir dua juta korban tentera dalam perang Ukraine

PEGAWAI polis Ukraine memeriksa mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu di Izyum, wilayah Kharkiv.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pencerobohan berterusan Russia ke atas Ukraine meragut hampir dua juta kecederaan dan kematian membabitkan anggota tentera kedua-dua belah pihak, menurut kajian terbaru oleh sebuah badan pemikir Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Laporan daripada Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) mendedahkan tentera Moscow menanggung kerugian paling besar, dengan anggaran 1.2 juta mangsa termasuk sehingga 325,000 kematian sejak pencerobohan bermula hampir empat tahun lalu.

“Tiada kuasa besar dunia yang pernah mengalami jumlah kehilangan nyawa atau kecederaan sebesar ini dalam mana-mana peperangan sejak Perang Dunia Kedua,” lapor CSIS sambil menambah bahawa kemajuan tentera Russia di medan perang juga dilihat amat perlahan.

Pasukan keselamatan Ukraine turut dilaporkan mengalami kerugian besar dengan rekod antara 500,000 hingga 600,000 kecederaan dan kematian bagi tempoh Februari 2022 hingga Disember 2025.

Daripada jumlah tersebut, dianggarkan antara 100,000 hingga 140,000 anggota telah terkorban.

“Gabungan jumlah mangsa Russia dan Ukraine mungkin mencecah 1.8 juta orang dan dijangka meningkat kepada dua juta menjelang musim bunga 2026,” jelas CSIS.

Terdahulu pada Februari 2025, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan media AS negaranya kehilangan hampir 46,000 tentera sejak 2022.

Bagaimanapun, penganalisis menyifatkan angka itu jauh lebih rendah daripada realiti sebenar, memandangkan puluhan ribu lagi masih hilang atau ditawan.

Dalam pada itu, data daripada perkhidmatan Russia BBC dan portal Mediazona yang berdasarkan maklumat awam seperti notis kematian telah mengenal pasti lebih 163,000 tentera Russia terkorban dalam tempoh empat tahun, namun mengakui angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Konflik itu juga memberi kesan tragis kepada penduduk awam. Pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merekodkan angka kematian orang awam di Ukraine pada 2025 adalah yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, kecuali tahun 2022.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia melaporkan lebih 2,500 orang awam maut manakala 12,000 lagi cedera sepanjang tahun 2025.

Secara keseluruhan, PBB mengesahkan hampir 15,000 kematian orang awam sejak 2022, namun menegaskan jumlah sebenar mungkin jauh lebih besar.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN