Dua petugas kesihatan India dijangkiti virus Nipah

Dua petugas kesihatan India dijangkiti virus Nipah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Kerajaan India mengesahkan penularan terbaharu virus Nipah di negeri Bengal Barat berjaya dikawal, dengan hanya dua kes pengesahan dilaporkan setakat ini.

Pengumuman itu dibuat ketika beberapa negara Asia termasuk Thailand, Indonesia dan Malaysia mula memperketatkan kawalan serta pemantauan di pintu masuk sempadan bagi menyaring pembawa berpotensi virus tersebut dari India.

“Situasi kini berada di bawah pemantauan berterusan dan semua langkah kesihatan awam yang diperlukan telah dilaksanakan,” menurut kenyataan rasmi kerajaan India berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan jangkitan itu merebak lebih meluas.

Walaupun pihak berkuasa tidak mendedahkan butiran mangsa secara terperinci, The Straits Times difahamkan kes tersebut melibatkan dua petugas kesihatan di sebuah hospital swasta di Barasat, pinggir bandar Kolkata.

Jangkitan dikesan melalui ujian awal pada 11 Januari dan disahkan secara rasmi dua hari kemudian. Kedua-dua pesakit dilaporkan mengalami demam dan komplikasi neurologi akibat radang otak.

Salah seorang pesakit dilaporkan pulih, manakala seorang lagi masih berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Seramai 196 individu yang mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua mangsa telah dikesan, namun kesemuanya disahkan negatif. Setakat ini, tiada kes Nipah dilaporkan di luar India susulan wabak terbaru ini.

Virus Nipah adalah bersifat zoonotik, iaitu virus yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia, terutamanya melalui sentuhan rapat dengan haiwan yang dijangkiti seperti kelawar buah.

Jangkitan juga boleh berlaku melalui pengambilan buah-buahan atau produk seperti nira kurma mentah yang telah dicemari. Selain itu, penularan sesama manusia boleh berlaku menerusi sentuhan rapat dengan rembesan atau bahan kumuhan pesakit.

Antara simptom jangkitan termasuklah demam, sakit kepala, muntah, batuk, kesukaran bernafas, sawan, dan kekeliruan, yang biasanya muncul selepas tempoh pengeraman selama lima hingga 14 hari.

Penyakit ini mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi, iaitu antara 40 peratus hingga 75 peratus, memandangkan masih tiada vaksin atau ubat khusus untuk merawatnya.

Nama virus Nipah diambil sempena Kampung Sungai Nipah di Negeri Sembilan, lokasi di mana wabak ini pertama kali dikenal pasti dalam kalangan penternak babi pada tahun 1998.

Tragedi tersebut mencatatkan 265 kes jangkitan dengan 105 kematian, serta mengakibatkan lebih satu juta ekor babi terpaksa dilupuskan di seluruh negara bagi menyekat penularan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN