Dua ejen persekutuan direhatkan selepas tembak mati jururawat

Dua ejen persekutuan direhatkan selepas tembak mati jururawat

Orang ramai berkabung di lokasi pegawai imigresen menembak mati Alex Pretti di Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat, Sabtu lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS: Dua ejen persekutuan yang menembak mati seorang lelaki di Minneapolis hujung minggu lalu, diletakkan di bawah cuti pentadbiran sejak Sabtu, menurut Jabatan Keselamatan Tanah Air (DHS) pada Rabu.

Langkah itu diambil ketika Presiden Donald Trump cuba meredakan kemarahan orang awam, meskipun operasi serbuan imigresen di bandar tersebut masih diteruskan.

DHS menegaskan tindakan merehatkan ejen terlibat merupakan protokol standard bagi sebarang insiden tembakan maut. Perkembangan ini menyusul selepas Presiden memberi bayangan untuk ‘meredakan’ operasi penguatkuasaan imigresen di negeri itu, namun tanpa memperincikan sebarang perubahan taktik atau strategi.

Di Minnesota, situasi kekal kabur sama ada terdapat pengurangan nyata dalam tindakan penguatkuasaan persekutuan, walaupun Trump baru-baru ini telah melucutkan jawatan Komander Rondaan Sempadan, Gregory Bovino.

Serbuan imigresen dilaporkan masih berlaku, termasuk satu insiden pada Selasa di mana ejen cuba memasuki konsulat Ecuador tanpa waran.

Dalam pada itu, Peguam Negara AS, Pam Bondi, mengumumkan tangkapan baharu terhadap individu yang disifatkan sebagai ‘perusuh’ yang didakwa menyerang pegawai penguatkuasa undang-undang persekutuan.

Kematian Alex Pretti pada Sabtu lalu terus menghantui Rumah Putih ketika Trump mengadakan siri jelajah ke Iowa untuk menyampaikan ucapan mengenai ekonomi bagi menyokong calon Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal November depan.

Trump dalam reaksinya kepada pemberita di Iowa menyatakan beliau tidak menganggap Pretti sebagai seorang ‘pembunuh upahan’ iaitu istilah yang sebelum ini digunakan oleh Timbalan Ketua Kakitangan, Stephen Miller.

Bagaimanapun, Trump terus menyalahkan Pretti kerana membawa senjata api, walaupun mangsa mempunyai lesen sah untuk memilikinya.

Taktik agresif ejen persekutuan ini mendapat kecaman hebat, termasuk daripada Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA) yang mengkritik pentadbiran Trump kerana mengetepikan hak perlembagaan dan undang-undang Pretti untuk membawa senjata api.

Satu gelombang bantahan ‘No Kings’ pusingan ketiga kini sedang dirancang pada 28 Mac ini, susulan kematian dua rakyat AS dalam insiden berturut-turut membabitkan operasi imigresen di Minnesota.

Demonstrasi yang dianjurkan oleh pelbagai kumpulan di seluruh negara itu dijangka menarik sehingga 9 juta peserta, sekali gus bakal menjadi protes terbesar dalam sejarah AS.

“Ini merupakan tindak balas terhadap serangan kejam ke atas demokrasi dan komuniti kita oleh rejim ini, serta perasaan bahawa tiada sesiapa yang akan datang menyelamatkan kita,” kata Ezra Levin, Pengarah Eksekutif bersama badan bukan untung, Indivisible.

Trump menegaskan beliau sedang menunggu hasil siasatan telus dan jujur oleh DHS berhubung kes tembakan tersebut. Setakat ini, tiada sebarang siasatan hak sivil dimulakan oleh Jabatan Kehakiman AS, yang merupakan amalan biasa dalam kes tembakan membabitkan pegawai persekutuan sebelum ini.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN