KUANTAN: Kopi Saigon terus menjadi pilihan utama DAZ Group Resources sebagai perniagaan keluarga apabila berjaya mengembangkan rangkaian cawangannya di sekitar negeri ini sejak mula beroperasi pada 2023.
Pengarah Urusan DAZ Group Resources, Dinie Amirah Zuhairi berkata, bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Indera Mahkota, perniagaan tersebut kini sudah mempunyai tiga cawangan di Kuantan iaitu di Taman Tas dan Teluk Cempedak yang mula beroperasi sejak 2024.
“Kejayaan membuka cawangan di Kuantan itu turut mendapat pengiktirafan daripada pihak ibu pejabat Kopi Saigon apabila cawangan Indera Mahkota dinobatkan sebagai Top 3 Best Outlet Performer, manakala cawangan Taman Tas pula menerima anugerah Top 3 Best Rookie Outlet.
“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada DAZ Group untuk terus melangkah lebih jauh dalam industri makanan dan minuman.
“Malah, komitmen terhadap keselesaan pelanggan dan tahap kebersihan kedai sentiasa diberikan keutamaan. Hal ini terbukti apabila cawangan Indera Mahkota berjaya memperoleh gred A bagi tahap kebersihan premis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dinie Amirah berkata, tidak terhenti di situ, DAZ Group terus melakar pencapaian baharu apabila cawangan keempat di Mentakab mula beroperasi pada Jun lalu dan cawangan kelima di Temerloh dijadualkan dilancarkan pada Februari ini.
“Istimewanya outlet Temerloh ini dibuka di atas bangunan milik persendirian yang berkonsep moden dan premium serta lain daripada cawangan Kopi Saigon sebelum ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, selain fokus kepada pengembangan perniagaan, DAZ Group turut menzahirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut dengan memperuntukkan RM30,000 bagi program sambutan Ramadan yang bakal tiba dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.
“Antara program yang akan dianjurkan termasuk majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di salah satu cawangan sedia ada,” katanya.
Menurutnya, perancangan masa hadapan DAZ Group adalah untuk menjadikan perniagaan itu lebih bermanfaat kepada komuniti setempat.
“Antara usaha yang dirancang termasuk menyediakan peluang pekerjaan, memanfaatkan produk tempatan serta memastikan kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan.
“DAZ Group mahu menjadi contoh perniagaan yang stabil dan berdaya saing, di samping memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN










