Datuk Bandar dikritik sibuk main tenis semasa Berlin bergelap

Datuk Bandar dikritik sibuk main tenis semasa Berlin bergelap

KAI WEGNER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Datuk Bandar Berlin, Kai Wegner, berdepan desakan meletak jawatan kerana bermain tenis beberapa jam selepas gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang melanda hampir seluruh ibu negara Jerman akibat serangan pembakaran grid kuasa.

Daerah di barat daya bandar itu kini beransur-ansur pulih selepas mengalami gangguan bekalan elektrik terpanjang sejak Perang Dunia Kedua, ketika Wegner mengaku beliau tidak bersikap jujur mengenai tindakannya sewaktu kejadian berlaku.

Kumpulan sayap kiri mengaku bertanggungjawab atas serangan pada 3 Januari, yang sengaja memutuskan bekalan elektrik kepada kira-kira 45,000 isi rumah dan lebih 2,000 perniagaan, menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan Jerman terhadap kes sabotaj.

Wegner ketika sidang media mengesahkan laporan penyiar awam RBB berhubung beliau berada di gelanggang tenis bersama pasangannya, Menteri Pendidikan Berlin, Katharina Gunther-Wunsh, antara pukul 1 hingga 2 petang hari kejadian.

Pemimpin Parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) itu sebelum ini memberitahu wartawan, beliau bekerja tanpa henti untuk mengurangkan kesan gangguan elektrik dan memulihkan semula bekalan kuasa.

Bagaimanapun kelmarin, beliau mengaku kenyataannya pada Ahad lalu kurang tepat.

“Sekarang saya sedar, saya sepatutnya memberitahu apa yang saya lakukan pada Sabtu. Ya, saya perlukan rehat seketika, tenangkan fikiran dengan bersukan,” katanya.

Lapan bulan sebelum pilihan raya wilayah yang dijangka disertainya, desakan agar beliau meletak jawatan semakin kuat, dengan ramai berpendapat Wegner hilang kuasa untuk terus memegang jawatan.

Parti sayap kanan AfD mengkritik Wegner kerana tidak mengambil serius serangan pengganas yang memutuskan bekalan elektrik sehingga beliau tetap memilih untuk bermain tenis.

Ketua parlimen AfD wilayah itu, Kristin Brinker berkata, Wegner juga ‘berbohong di hadapan rakyat Berlin’.

Isu seumpama itu pernah berlaku sebelum ini terhadap Carloz Mazon, yang meletak jawatan sebagai presiden Valencia di Sepanyol tahun lalu, selepas didapati makan tengah hari selama lebih tiga jam dengan wartawan ketika banjir besar melanda wilayah tersebut yang meragut 229 nyawa.- THE GUARDIAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN