KUALA LUMPUR: DAP yakin UMNO akan terus memainkan peranan untuk memperkukuh dan menstabilkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.
Bekas Naib Presiden DAP, Teresa Kok Suh Sim berkata, meskipun kerjasama itu mungkin tidak kekal selama-lamanya, semua parti dalam gabungan kerajaan hari ini tahu peranan masing-masing dalam mengekalkan kestabilan.
“Keadaan politik ini adalah satu evolusi, tidak ada apa-apa yang kekal. Apa yang saya rasa penting adalah apabila parti-parti politik bergabung.
“Kita mahu lengkapkan negara ini secara bersama secara aman tanpa pergaduhan dari segi politik yang serius. Ini adalah perkara yang harus dipupuk, jadi dalam apa juga perbezaan, kita harus berbincang secara close door (tertutup) dan kita mencari kata sepakat.
“Dalam tahun ini, jika kita lihat sudah ada beberapa pengumuman yang menunjukkan Kerajaan Madani telah mendengar suara rakyat, rintihan rakyat dan sudah ada beberapa perubahaan dan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Semua ini menunjukkan kerajaan ini masih berpegang kepada prinsip dan reformasi agenda politik untuk menjadi lebih positif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya lagi, walaupun terdapat perbezaan pendapat di peringkat akar umbi dalam beberapa perkara khususnya yang membabitkan UMNO dan DAP, ia tidak boleh dianggap sebagai kenyataan yang mewakili keseluruhan kedua-dua parti itu.-UTUSAN.










