CIDB E-Construct, Autodesk meterai MoU pacu pendigitalan dan AI sektor pembinaan - Utusan Malaysia

CIDB E-Construct, Autodesk meterai MoU pacu pendigitalan dan AI sektor pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CIDB E-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Autodesk bagi mempercepatkan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pembinaan Malaysia.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, serta dihadiri pemimpin agensi kerajaan dan industri pembinaan swasta, sekali gus mencerminkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

Kerjasama ini selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI dan visi AI Malaysia 2030, dengan tumpuan kepada pembangunan bakat, peningkatan kemahiran digital serta transformasi industri pembinaan secara menyeluruh.

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan memberi fokus kepada pelaksanaan program latihan bersepadu, kesedaran pensijilan serta inisiatif peningkatan kemahiran bagi memperkukuh kecekapan digital dalam kalangan profesional pembinaan tempatan.

Selain itu, kerjasama ini turut menilai penggunaan aliran kerja digital dan AI melalui projek perintis, termasuk penerapan rangka kerja berasaskan data, Common Data Environment (CDE) serta perkongsian amalan terbaik di peringkat industri dan eksekutif.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDBEC, Sr Nazir, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam membentuk masa depan industri pembinaan negara melalui inovasi dan pendigitalan yang inklusif.

Sementara itu, Naib Presiden APAC & Jepun Autodesk, Haresh Khoobchandani berkata, kerjasama tersebut menyokong keperluan tenaga kerja bersedia masa hadapan, khususnya sejajar dengan mandat Building Information Modelling (BIM) oleh Kerajaan Malaysia.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Sr Nazir dan Pengarah Serantau ASEAN Autodesk, Ivy Rayner, serta disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal dan Haresh Khoobchandani.

Kerjasama strategik ini dijangka menjadi pemangkin kepada penerimagunaan teknologi digital dan AI secara lebih meluas, sekali gus meningkatkan produktiviti, kualiti dan kelestarian dalam industri pembinaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN