Caracas kembali tenang, rakyat Venezuela jalani hidup seperti biasa

Caracas kembali tenang, rakyat Venezuela jalani hidup seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Suasana di ibu negara Venezuela dilaporkan kembali tenang dan hampir pulih sepenuhnya selepas operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) pada 3 Januari menyaksikan penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa AS.

Tinjauan mendapati huru-hara dan masalah kekurangan bekalan di pasaran mula reda, dengan penduduk di Caracas kembali menjalani rutin harian seperti biasa.

Bagaimanapun, sisa pengaruh pentadbiran lama masih jelas kelihatan dengan potret Maduro masih terpampang di kawasan tumpuan, manakala dinding bandar diconteng dengan slogan ‘Bebaskan Maduro’, ‘Kami Mahu Anda Kembali’ dan ‘Lawan Maduro’.

Kawalan keselamatan kini diperketatkan di lokasi strategik, termasuk Istana Presiden Miraflores, di mana anggota tentera dan polis giat menjalankan pemeriksaan kenderaan serta identiti.

Dalam temubual bersama agensi berita Anadolu, rata-rata rakyat Venezuela menyuarakan kebimbangan tindakan AS itu sebenarnya didorong oleh minat terhadap simpanan minyak gergasi negara tersebut. Mereka turut memetik kenyataan Presiden Donald Trump sebagai bukti motif berkenaan.

Seorang penduduk tempatan, Hilda Lopez menegaskan kepentingan kedaulatan negara.

“Sama ada keadaan kita baik atau buruk, setiap orang mempunyai maruah kedaulatan di negara sendiri. Jika kami mempunyai masalah, kami mahu menyelesaikannya sendiri.

“Ia tidak boleh melalui campur tangan atau serangan pihak luar, kerana kami adalah negara bebas dan berdaulat yang mempunyai perlembagaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jose Antonio Mendoza, menyelar pihak pembangkang yang didakwa tidak menyayangi negara dan hanya menjadi alat kepada kepentingan AS untuk menguasai loji penapisan minyak Venezuela. Beliau turut menggesa agar Maduro dan isterinya dibebaskan segera.

Sentimen yang sama dikongsi Roman Medino London yang menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘serangan jenayah’ demi kepentingan sumber asli.

Ahad lalu, orang ramai berkumpul di Dataran Bolivar untuk membantah tindakan AS, sambil mengadakan upacara khas mendoakan keselamatan Maduro.

Anak lelaki Maduro yang juga ahli Parlimen, Nicolas Maduro Guerra, dalam ucapannya menyatakan peristiwa 3 Januari meninggalkan kesan mendalam terhadap kesihatan mental rakyat.

Beliau menggesa penyokongnya untuk terus berjuang sehingga bapa dan ibu tirinya dibebaskan.

Susulan penyingkiran Maduro, Presiden sementara, Delcy Rodriguez mengambil alih tampuk kepimpinan dan mengumumkan bermulanya era politik baharu dan menyeru dialog bersama pihak pembangkang bagi mencapai persetujuan demi keamanan dan tadbir urus negara.

Bagaimanapun, AS dilihat lebih cenderung berurusan dengan saki-baki pentadbiran lama berbanding memberi kuasa penuh kepada tokoh pembangkang.

Meskipun beberapa tahanan politik telah dibebaskan, sekatan terhadap kebebasan bersuara masih wujud, dan belum ada tanda-tanda peralihan demokrasi penuh atau pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat.

Setakat ini, elemen yang menyokong ideologi Chavismo iaitu gerakan populis sayap kiri yang berpaksikan anti-imperialisme masih memegang pengaruh besar, sekali gus mengekang perubahan drastik terhadap kerangka sistem Maduro-Chavez yang sedia ada. -ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN