Bina KB Sentral tahun ini, lantik kontraktor pada Mac -Kerajaan Kelantan

Bina KB Sentral tahun ini, lantik kontraktor pada Mac -Kerajaan Kelantan

DR. Izani Husin (dua kanan) tekun mendengar taklimat berkaitan pembinaan KB Sentral, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan kerja-kerja pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong sebelum ini akan bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pada masa sama pelantikan kontraktor untuk projek itu akan dilakukan selewat-lewatnya Mac ini.

Katanya, kerajaan negeri sudah sudah menyenarai enam kontraktor untuk menyiapkan projek berkenaan sebelum disenarai pendek seterusnya dimuktamadkan.

“Buat masa ini kerja-kerja penstabilan dan rawatan tanah sedang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik iaitu Check Construction menelan belanja berjumlah RM14 juta. Check Construction merupakan anak syarikat kepada China Communications Construction Co Ltd (CCCC) yang terlibat dalam pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Check Construction akan mula kerja-kerja rawat dan penstabilan tanah pada Selasa ini. Ia melibatkan kerja-kerja korek tanah sedalam dua meter dan timbus balik dengan jumlah sama.

“Sebanyak dua meter lagi tanah akan ditambak sebagai pemberat sebelum proses pemampatan dijalankan menggunakan teknologi Prefabricated Vertical Drain (PVD) bagi mengatasi masalah tanah lembut serta kandungan air yang tinggi di tapak projek,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan KB Sentral hari ini.

Dr. Izani memberitahu, kesemua proses itu dijangka selesai selewat-lewatnya bulan Disember.

Katanya, bagaimanapun kerja-kerja menambak tanah ini boleh diselesaikan dalam tempoh enam bulan sahaja.

“Kontraktor yang akan dilantik bukan sahaja kompiten malah perlu mempunyai sumber kewangan kukuh dalam menyiapkan pembinaan KB Sentral.

“Apa boleh saya kata, kita berada di landasan terbaik untuk menyiapkan pembinaan projek ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 12 Mac 2023 lalu melaporkan, pembinaan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta di Mukim Pendek akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek yang dibangunkan sebagai kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di atas kawasan seluas 2.02 hektar itu dijangka siap pada 2026.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN