Berlari dalam kampung, nikmati sawah padi menghijau - Utusan Malaysia

Berlari dalam kampung, nikmati sawah padi menghijau

Pix ASRI Mat Isa (tiga dari kiri) menyempurnakan Guar Sanji Kampung Run di Kampung Che Ok, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Lebih 2,000 peserta dari seluruh negara menikmati pengalaman mengujakan berlari dalam suasana dingin angin timur sambil menikmati keindahan sawah padi menghijau sempena Guar Sanji Kampung Run di sini hari ini.

Para peserta yang datang dari seluruh negara kebanyakan bersama ahli keluarga secara santai menyertai acara larian melibatkan kategori tiga kilometer (km) dan enam km yang merangkumi laluan di kawasan kampung-kampung.

Menariknya, peserta yang mengikuti larian julung kali diadakan anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Tambun Tulang Che Ok yang teknikalnya dikendalikan oleh MEP21 itu antaranya mengenakan pakaian tradisional semasa mengikuti acara larian.

Sepanjang laluan larian tersebut, terdapat juga beberapa perhentian yang turut menyediakan pelbagai makanan tradisional termasuk persembahan kebudayaan yang sekali gus memberi keterujaan kepada para peserta.


PARA peserta yang mengenakan pakaian tradisional menyertai larian di kampung-kampung menikmati keindahan sawah padi menghijau sempena Guar Sanji Kampung Run di Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Pengerusi JPKKP Kampung Tambun Tulang Che Ok, Asri Mat Isa berkata, Guar Sanji merupakan kawasan kampung tradisional dan suasananya agak unik berbanding kawasan-kawasan lain sekali gus menjadi tarikan acara larian ini.

Katanya, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan termasuk mereka yang datang bercuti ke Perlis bersempena cuti sekolah.

“Para peserta menikmati keindahan sawah padi menghijau dan suasana cukup dingin memandangkan sekarang musim angin timur. Inilah keistimewaan yang ada di Perlis.

“Di sepanjang tiga check point tersebut disediakan makanan tradisional yang dimasak di setiap perhentian tersebut. Selain itu, persembahan kesenian dan gendang yang menarik perhatian para peserta.

“Para peserta juga menyertai kenduri kampung selepas tamat larian berkenaan yang dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung. Acara ini juga menyediakan lebih hadiah cabutan bertuah menarik termasuk sebuah motosikal elektrik,” katanya yang turut menyempurnakan pelepasan larian tersebut di Kampung Che Ok di sini hari ini.

Katanya, melihat kepada sambutan itu, dia tidak menolak kemungkinan menjadikan Guar Sanji Kampung Run sebagai acara tahunan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN