BENTONG: Nasib sebanyak 121 buah keluarga termasuk 38 di daerah Bentong yang menjadi mangsa banjir kini berubah apabila mereka menerima bantuan rumah menerusi inisiatif Emergency Relief Centre (ERC) dan Rumah Rakyat Pahang (Ru’RASA).
Ia melibatkan peruntukan keseluruhan RM12.2 juta termasuk kos pembelian perabot bagi memastikan setiap kediaman benar-benar selesa, selamat dan sesuai untuk diduduki.
Terharu dan gembira dengan bantuan tersebut, semua penerima merakamkan penghargaan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerajaan negeri serta penyumbang atas keprihatinan yang diberikan.
Bagi Chow Loi Kee, 67, tragedi banjir besar pada 2021 di Telemong menyebabkan rumah separuh papan milik keluarganya musnah selepas dirempuh kayu-kayu balak yang dihanyutkan arus deras.
Katanya, sejak kejadian itu dia tinggal di sebuah kabin kecil di kebun durian sebelum dipilih menerima sebuah rumah bertiang bernilai lebih RM110,000 di Kampung Sungai Perdak.
“Saya tidak pernah terfikir di usia begini masih berpeluang tinggal di rumah yang kukuh dan selamat. Ini harapan baharu selepas kehilangan segalanya,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima kunci rumah daripada Sultan Pahang pada Majlis Penyerahan Rumah ERC dan Ru’RASA bagi Daerah Bentong di Kampung Sungai Perdak, di sini.
Seorang lagi penerima yang merupakan ibu kepada tiga anak, M. Kastruri, 47, bersyukur apabila kini dapat tinggal di rumah bertiang yang bebas risiko banjir, berbanding rumah asalnya di pinggir Sungai Perdak yang sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.
“Setiap kali hujan, kami hidup dalam ketakutan. Kini anak-anak boleh tidur lena menjadikan sambutan Pongal tahun ini lebih meriah. Rumah yang lengkap dengan perabot ini bagaikan sebuah istana buat kami,” katanya.
Sementara itu, penerima orang kurang upaya, Liew Sei Kim, 76, berkata, tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja menerima kunci rumah baharunya di Sungai Perdak.
Dia menganggap rumah tersebut sebagai hadiah Tahun Baharu Cina yang amat bererti dan akan tinggal bersama abangnya yang selama ini menguruskan dirinya yang lumpuh.
“Ini istana saya dan tempat akhir hayat saya. Ia menggantikan rumah lama yang dihanyutkan banjir. Saya amat berterima kasih atas bantuan ini,” katanya.
Bagi Abdul Jalil Hasan, 76, dari Kampung Karak Setia, Karak, rumah baharu yang diterima membawa ketenangan selepas bertahun-tahun hidup dalam kebimbangan setiap kali musim hujan melanda.-UTUSAN.










