SYDNEY: Australia membatalkan visa seorang pempengaruh Israel yang mengadakan kempen menentang Islam, dengan menyatakan negara itu tidak akan menerima pelawat yang datang untuk menyebarkan kebencian.
Sammy Yahood, yang pernah mengulas di media sosial mengenai Islam ‘ideologi yang menjijikkan’, berkata pada Isnin visanya dibatalkan tiga jam sebelum penerbangannya berlepas dari Israel.
Yahood tetap terbang ke Abu Dhabi, tetapi dihalang daripada menaiki penerbangan sambungan.
“Ini adalah cerita tentang tiran, penapisan dan kawalan,” tulisnya di X.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tony Burke berkata mereka yang ingin melawat Australia harus memohon visa yang betul dan datang atas sebab yang betul.
“Menyebarkan kebencian bukan alasan yang baik untuk datang,” katanya dalam kenyataan kepada AFP pada Selasa.
Australia mengetatkan undang-undang jenayah kebencian bulan ini susulan tembakan rambang pada 14 Disember semasa sambutan Hanukkah di Pantai Bondi yang meragut 15 nyawa.
Visa Yahood dibatalkan di bawah undang-undang sama yang sebelum ini digunakan untuk menolak visa individu atas alasan menyebarkan kebencian.
Persatuan Yahudi Konservatif Australia, yang menjemput pempengaruh itu untuk berucap, ‘mengutuk sekeras-kerasnya’ keputusan kerajaan Perdana Menteri, Anthony Albanese.
Persatuan itu turut mengkritik pembatalan visa terhadap pengunjung Yahudi lain, termasuk ahli politik Israel berhaluan kanan, Simcha Rothman, yang pernah dihalang tahun lalu.
“Pembatalan terbaru ini menguatkan kebimbangan mendalam dalam komuniti Yahudi bahawa walaupun tragedi Bondi dan permohonan maaf kerajaan yang lambat, Kerajaan Albanese tidak berubah dan tidak ikhlas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif persatuan itu, Robert Gregory, dalam satu kenyataan.- AFP










