WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan rancangan untuk mengadakan latihan ketenteraan selama beberapa hari di Asia Barat ketika mengerahkan ‘armada’ kapal perang diketuai USS Abraham Lincoln, dalam situasi ketegangan berterusan dengan Iran.
Menurut Pasukan Udara Tengah AS, latihan itu bertujuan untuk menunjukkan kemampuan kerahan, menyebarkan dan mengekalkan kuasa udara tempur di seluruh kawasan tanggungjawab Komando Pusat AS (CENTCOM).
Latihan itu juga ‘direka’ untuk meningkatkan keupayaan penyebaran aset dan kakitangan, mengukuhkan perkongsian serantau serta menyediakan persiapan untuk tindak balas fleksibel sekiranya diperlukan.
Langkah ini diumumkan susulan tindakan keras kerajaan Iran terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi, yang didakwa meragut ribuan nyawa dan ramai individu ditangkap, mencetuskan kebimbangan keselamatan serantau dan antarabangsa.
Tarikh, lokasi dan senarai aset tentera AS untuk mengambil bahagian dalam latihan tersebut belum didedahkan kepada umum, tetapi ia dilihat dirancang untuk mempamerkan keupayaan Amerika memproyeksi kekuatan ke rantau itu ketika ketegangan dengan Iran semakin meningkat.
CENTCOM mengumumkan kerahan tentera laut AS yang diketuai kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Abraham Lincoln tiba di rantau itu pada Isnin.
Kapal pengangkut pesawat itu, memiliki puluhan jet pejuang dan hampir 5,000 kelasi, diiringi oleh beberapa kapal pemusnah peluru berpandu yang membawa pertahanan udara untuk melindungi kumpulan serangan kapal pengangkut.
Selain itu, AS turut menggerakkan satu skuadron pesawat pejuang F-15E Strike Eagle ke rantau tersebut, menurut laporan Washington Post, yang berasal dari unit sama yang pernah terlibat dalam serangan ke atas sasaran di Iran pada April 2024.
Ia merupakan kali pertama sebuah kapal pengangkut pesawat ditempatkan di CENTCOM sejak USS Gerald Ford dikerahkan ke Caribbean pada bulan Oktober dalam persediaan untuk operasi AS bagi menyingkirkan pemimpin kuat Venezuela, Nicolás Maduro.- THE GUARDIAN










