Angkara Faisal, Kelantan TRW tersungkur di Kota Bharu

Angkara Faisal, Kelantan TRW tersungkur di Kota Bharu

SIMEN Lyngbo (kanan) bersama rakan sepasukan semasa meraikan jaringannya semasa menentang Selangor FC pada perlawanan Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan sebentar tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemain sayap lincah Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim muncul wira apabila rembatan derasnya dua minit sebelum tamat perlawanan memastikan Gergasi Merah menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Turun dengan misi meraih kemenangan, Gergasi Merah dikejutkan dengan percubaan bahaya tuan rumah menerusi Muhammad Asraf Alifuddin Yasin seawal minit pertama, namun gagal menepati sasaran.

Skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli akhirnya memperoleh jaringan pertama pada minit ke-25 apabila Simen Lyngbo mudah menolak masuk bola lorongan Muhammad Syafik Ismail untuk menewaskan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Kim Pan-gon bangkit untuk mendapat jaringan penyamaan namun gagal dan kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, pelawat terus melancarkan serangan bertali-arus ke kubu tuan rumah dan memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-61 menerusi Mohamad Faisal sekali gus mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Minit ke-82, tuan rumah mempersia-siakan peluang terbaik mendapatkan jaringan apabila rembatan Hien Htet Aung mudah didakap kemas oleh Kalamullah Al-Hafiz di gawang gol Selangor.

Ketika perlawanan tampak berakhir seri, Faisal bijak mencuri peluang dengan melepaskan rembatan deras yang melepasi jangkauan Damyan Damyanov untuk gol kedua Selangor FC.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Kelantan TRW berputih mata untuk meraih bekalan selesa sebelum aksi timbal balik kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jumaat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN