KAHERAH: Bintang Hollywood, Angelina Jolie, melawat bahagian Mesir di pintu sempadan Rafah ke Gaza semalam, bertemu dengan anggota Bulan Sabit Merah dan pemandu lori yang mengangkut bantuan kemanusiaan.
Diiringi delegasi Amerika Syarikat (AS) dan disambut pegawai semasa, Jolie berkata, beliau ‘berbesar hati’ dapat bertemu sukarelawan bantuan di lokasi tersebut.
Seorang sukarelawan memberitahu pemenang anugerah Oscar itu, terdapat ribuan lori bantuan yang sedang menunggu di sempadan berkenaan.
Menurut media tempatan, pelakon dan bekas utusan khas bagi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu membuat lawatan untuk melihat keadaan rakyat Palestin yang cedera dan dipindahkan ke Mesir serta memantau penghantaran bantuan ke wilayah terjejas.
Setakat ini, Jolie dan pihak berkuasa Mesir belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai lawatan tersebut.
Pintu sempadan Rafah sepatutnya dibuka semula di bawah gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza sejak Oktober, tetapi sehingga kini masih kekal ditutup.
Dalam kenyataan bersama pada 2 Januari, Mesir dan enam negara lain termasuk Arab Saudi menggesa komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Israel, sebagai kuasa pendudukan, untuk segera menghapuskan sekatan terhadap kemasukan dan pengagihan bekalan penting ke Gaza.
Pada awal Disember, Israel mengumumkan pintu sempadan Rafah hanya akan dibuka untuk mereka yang ingin meninggalkan Gaza, menyebabkan Kaherah segera menafikan ia memberi kelulusan bagi langkah itu.
Jolie, tokoh paling ikonik di Hollywood, meletak jawatan sebagai utusan khas bagi agensi pelarian PBB pada akhir 2022 selepas lebih 20 tahun berkhidmat, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan yang lebih luas.- AFP










