Amaran tegas Iran untuk Amerika

Amaran tegas Iran untuk Amerika

ABBAS ARAGHCHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar tidak mengulangi kesilapan konfrontasi ketenteraan sebelum ini, sambil menegaskan Teheran bersedia untuk mengadakan diplomasi.

“Pesan saya ialah, jangan ulangi kesilapan yang anda lakukan pada bulan Jun tahun lalu. Anda tahu, jika anda mencuba pengalaman yang gagal, hasilnya akan sama.

“Anda memusnahkan fasiliti pada bulan Jun tahun lalu, tetapi teknologi tidak boleh dibom, tekad juga tidak boleh dibom,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi kepada Fox News.

Beliau merujuk kepada serangan AS terhadap tiga fasiliti nuklear di Iran semasa perang Iran-Israel selama 12 hari pada Jun, ketika membicarakan ketegangan terkini dan sikap AS terhadap Teheran.

Araghchi berkata, Iran tidak mempunyai pengalaman positif dengan AS, namun laluan rundingan tetap menjadi pilihan yang lebih baik.

“Iran membuktikan kami bersedia untuk rundingan, bersedia untuk diplomasi.

“Kami mempunyai bukti dalam 20 tahun lepas termasuk pada tahun 2025 tetapi AS yang kerap lari dari diplomasi, yang memutuskan rundingan selepas perang. 

“Pesan saya ialah antara perang dan diplomasi, diplomasi adalah cara yang lebih baik, walaupun kami tidak mempunyai pengalaman positif dengan AS. Diplomasi tetap jauh lebih baik daripada perang,” katanya.

Bercakap mengenai kekacauan terbaharu di Iran, beliau mendakwa kerajaan berusaha menunjukkan ketahanan maksimum tetapi menegaskan protes tersebut dicemari oleh sel pengganas yang digerakkan oleh plot Israel.

“Unsur pengganas dari luar masuk ke dalam protes ini dan mula menembak anggota polis serta pasukan keselamatan. Selama tiga hari, kami bertempur dengan pengganas, bukan dengan penunjuk perasaan.

“Itu memang plot Israel. Mereka mahu menyeret Presiden AS ke dalam konflik ini. Jadi mereka mula meningkatkan jumlah kematian dengan membunuh orang awam, dengan membunuh anggota polis.

“Sekarang keadaan kembali tenang. Kami sepenuhnya mengawal situasi dan berharap kebijaksanaan akan menang,” tambahnya, sambil menekankan ketegangan akan membawa bencana kepada semua pihak.

Araghchi turut mengesahkan tidak akan ada hukuman gantung terhadap penunjuk perasaan.

“Saya boleh katakan, saya yakin tiada rancangan untuk hukuman gantung,” katanya.

Sebuah kumpulan hak asasi turut mengesahkan pelaksanaan hukuman terhadap seorang lelaki Iran yang ditangkap semasa gelombang protes, Erfan Soltani, 26, tidak berlaku seperti yang dijadualkan semalam, memetik ahli keluarga.

MAHU TUNGGU DAN LIHAT

Pegawai AS meningkatkan retorik terhadap Iran susulan protes yang melanda negara itu sejak akhir bulan lepas akibat keadaan ekonomi yang semakin memburuk.

Pada Selasa, Trump memberitahu CBS News, Washington akan mengambil tindakan yang sangat tegas sekiranya Iran melaksanakan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan.

Pihak berkuasa belum mengeluarkan angka rasmi mengenai korban atau penahanan. 

Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) berpangkalan di AS menganggarkan sekurang-kurangnya 2,500 orang terbunuh, termasuk penunjuk perasaan dan anggota keselamatan, dengan lebih 1,100 lagi cedera.

Agensi itu juga menyatakan lebih 18,000 orang ditahan, walaupun angka ini belum disahkan secara bebas dan berbeza dengan anggaran badan pemantau lain.

Kelmarin, Trump berkata, beliau dimaklumkan pembunuhan penunjuk perasaan di Iran sudah dihentikan, tetapi pentadbirannya masih memerhati dan memantau mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan yang diancam sebelum ini.

Trump beberapa kali bercakap dalam beberapa hari lalu tentang ‘bantuan’ kepada rakyat Iran berikutan tindakan keras terhadap protes di Iran.

Tetapi dalam pengumuman mengejutkan di Rumah Putih, Trump berkata, beliau sudah menerima jaminan daripada sumber-sumber sangat penting dari pihak lain bahawa Tehran kini sudah menghentikan pembunuhan dan hukuman mati tidak akan dilaksanakan.

“Mereka kata pembunuhan sudah dihentikan dan hukuman gantung tidak akan berlaku. Sepatutnya ada banyak hukuman gantung semalam tetapi ia tidak akan dilaksanakan dan kita akan memastikannya.

“Kita akan memerhati dan lihat bagaimana prosesnya,” kata Trump apabila ditanya oleh seorang wartawan AFP di Pejabat Oval sama ada tindakan ketenteraan AS kini dibatalkan.

Iran juga menunjukkan nada berani dalam memberi tindak balas terhadap sebarang serangan AS, ketika Washington dilaporkan mengurangkan kakitangan di pangkalan di Qatar yang pernah disasarkan Teheran dalam serangan tahun lalu.

Kebimbangan tentang kemungkinan tindakan ketenteraan AS terus menegangkan rantau itu.

Kerajaan Britain berkata, kedutaannya di Teheran turut ditutup sementara, manakala kedutaan AS di Arab Saudi menasihati kakitangan supaya berhati-hati dan mengelakkan fasiliti ketenteraan.

Di Tehran, pihak berkuasa mengadakan pengebumian untuk lebih 100 anggota keselamatan dan syuhada lain yang terbunuh dalam rusuhan, yang didakwa oleh pihak berkuasa sebagai tindakan pengganas.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN