Akhbar propaganda Korea Utara kini boleh diakses di Korea Selatan

Akhbar propaganda Korea Utara kini boleh diakses di Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan kini membenarkan rakyatnya mengakses akhbar utama Korea Utara, Rodong Sinmun, di lokasi terpilih tanpa memerlukan kelulusan kerajaan, sekali gus menamatkan larangan lama terhadap pembacaan penerbitan yang sarat propaganda itu.

Langkah tersebut diambil ketika Presiden Lee Jae Myung, yang berpendirian lebih berdamai, berusaha memperbaiki hubungan dengan Pyongyang.

Beliau sebelum ini secara berseloroh berkata, tidak percaya orang ramai akan ‘menjadi komunis’ hanya dengan membaca akhbar berkenaan, yang namanya bermaksud ‘Akhbar Pekerja’.

Akhbar itu sebelum ini dilarang di Korea Selatan kerana kandungannya yang sarat dengan laporan ujian peluru berpandu, pujian terhadap pemimpin Korea Utara serta kecaman terhadap Amerika Syarikat (AS).

Pembaca kini tidak perlu lagi mengemukakan pengenalan diri atau permohonan yang menjelaskan tujuan mereka, walaupun mereka masih perlu mengunjungi perpustakaan awam untuk melihat salinan akhbar tersebut.

Pendapat di Seoul, berbelah bahagi mengenai keputusan membenarkan akses percuma kepada propaganda dari Pyongyang.

Semua media di Korea Utara dikawal rapi oleh kerajaan, dan Rodong Sinmun berfungsi sebagai lidah rasmi Parti Pekerja yang menindas kuasa pemerintah.

“Ia seperti memberi orang ramai akses kepada propaganda ISIS,” kata pelajar Park Si-won, 22.

Korea Selatan dan Korea Utara yang memiliki senjata nuklear kekal secara rasmi berada dalam keadaan perang, dan Seoul sebelum ini melarang sebarang akses kepada propaganda Pyongyang atas alasan keselamatan.

Banyak sekatan masih berkuat kuasa, laman web Korea Utara kekal tidak dapat diakses daripada alamat IP Korea Selatan.

Di Perpustakaan Negara Seoul pada 2 Januari, wartawan AFP melihat beberapa individu membalik halaman Rodong Sinmun, yang dipenuhi gambar pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, yang namanya sentiasa dicetak tebal.

Seoul berikrar untuk secara berperingkat memperluaskan akses kepada maklumat mengenai Korea Utara, selaras dengan usaha memperbaiki hubungan yang kini berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun.

Langkah ini tidak bersifat timbal balik, rakyat Korea Utara masih dilarang sama sekali mengakses sebarang kandungan Korea Selatan dan berdepan hukuman berat jika didapati melakukannya.

Presiden Jae Myung, menyifatkan pelonggaran penapisan era Perang Dingin ini sebagai peluang untuk memahami realiti Korea Utara dengan tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN