PETALING JAYA: Semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah akan diwajibkan melaksana mekanisme jaminan bank sebagai langkah mencegah penipuan serta melindungi kepentingan jemaah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, insiden penipuan agensi umrah yang terus berlaku membuktikan keperluan mendesak untuk memperketat kawal selia terhadap pengendali pakej umrah demi menjaga kebajikan jemaah.
Katanya, sejak tahun lalu, MOTAC berhasrat melaksanakan kewajipan mekanisme jaminan sebagai syarat utama pelesenan agensi pelancongan, khususnya pengendali umrah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Langkah ini bukan beban kepada pengusaha yang jujur, sebaliknya usaha tegas membina ekosistem pelancongan yang selamat, telus dan boleh dipercayai,” katanya.
Baru-baru ini 36 jemaah umrah yang terkandas di Madinah, Arab Saudi selepas agensi didakwa gagal menyediakan penginapan dan tiket penerbangan pulang seperti dijanjikan.
King Sing berkata, MOTAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang menipu, mengabaikan kebajikan jemaah atau merosakkan reputasi negara.
Menurutnya, dari tahun 2023 hingga Oktober 2025, MOTAC telah melaksanakan 64 operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan penggantungan serta pembatalan lesen terhadap agensi pelancongan yang melanggar undang-undang.
Katanya, kebajikan jemaah dan pengguna sentiasa menjadi keutamaan dan tindakan tegas akan diteruskan bagi memastikan industri pelancongan, khususnya sektor umrah dikendalikan oleh pengusaha yang berintegriti dan profesional.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pelaksanaan mekanisme jaminan bank amat penting kerana tanpanya, ruang akan terus terbuka kepada kewujudan syarikat baharu yang menjalankan skim penipuan sehingga menjejaskan jemaah.
“Saya menyokong cadangan ini kerana sudah terlalu banyak kes penipuan agensi umrah yang berlaku di negara kita melibatkan kerugian lebih ribuan atau jutaan ringgit.
“Setakat ini, tiada jumlah khusus jaminan bank dimaklumkan MOTAC namun jumlah sekitar RM500,000 adalah munasabah sebagai langkah pencegahan.
“Jumlah tersebut boleh menjadi penanda aras bagi memastikan hanya agensi yang benar-benar berkemampuan dan berintegriti dibenarkan beroperasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Md. Daud berkata, kerajaan dan penguat kuasa undang-undang perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap agensi penipuan umrah supaya ia benar-benar memberi pengajaran.
Katanya, kelewatan dan ketidaktegasan dalam hukuman hanya menggalakkan lebih ramai pihak atau agensi berani melakukan tindakan sedemikian.
“Pelaksanaan jaminan bank bukan sahaja dapat mengurangkan kewujudan skim penipuan, malah dapat menjaga maruah umat Islam serta imej negara,” katanya.-UTUSAN.










