KANGAR: Menter Besar, Abu Bakar Hamzah sedia memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dalam misi mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak di negeri ini.
Menurut Abu Bakar, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini bagi membincangkan beberapa perkara dalam mengangkat semula kemajuan sukan itu di Perlis.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kemungkinan berlakunya rombakan dalam PFA bagi mencari penyesaian melibatkan beberapa isu berbangkit sejak dari 2019 lagi.
“Kita boleh mendaftar pasukan baharu dan bukan menggunakan nama Perlis tapi sampi bila?. Lebih baik kita kekalkan nama Perlis walaupun kita tahu ada kos tertentu perlu diselesaikan. Bila berjumpa (FAM), banyak perkara baharu kita boleh rancang demi kemajuan bola sepak Perlis,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) di Kompleks Seri Putra hari ini.
Sebagai rekod, lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup disegani lawan selain pernah dianggap giant killer yang memusnahkan pasukan besar di Malaysia.
Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan berstatus bintang di Liga Malaysia (Liga M).
Namun, selepas lebih sedekad, nama Perlis terus menyepi dan seolah-olah hilang dalam peta bola sepak negara walaupun rakyat negeri ini masih menaruh harapan kepada pasukan bola sepak negeri itu.
Ujar Abu Bakar, jawatankuasa PFA sedia ada juga setakat ini dilihat masih belum mengadakan sebarang mesyuarat walaupun sudah mencapai tempoh dua tahun.
“Kita juga akan umumkan, kalau tak ada keberatan, saya sendiri akan jadi Presiden PFA. Penggantunggan sebelum ini melibatkan isu kewangan di mana ada pemain import membuat laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Susulan itu, FIFA juga memberi kata dua kepada FAM sama ada mahu gantung Perlis atau mereka yang akan digantung. Jadi FAM gantung Perlis tapi dalam masa sama, masih ada lagi cara untuk dilihat balik,” katanya.
Menurut Abu Bakar, beliau juga berjanji tiada sebarang penyaluran dana daripada kerajaan negeri dalam usaha membantu PFA dan kemajuan bola sepak Perlis.
“Yang pertama kita kena selesaikan dahulu isu pendaftaran sebab dah dua tahun tak buat mesyuarat. Selepas pemilihan itu, kita akan cari jalan supaya isu penggantungan ini dapat diselesaikan,” katanya.-UTUSAN










