KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berikrar memerangi budaya ‘Little Napoleon’ dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.
Tegas Abu Bakar, ia juga merupakan janji beliau kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang sering menyatakan rasa dukacita dan malu apabila menerima rungutan daripada pelabur serta peniaga apabila berurusan dengan segelintir penjawat awam itu.
Katanya, sikap sedemikian mesti dihentikan serta-merta.
“Pendekatan kita selepas ini jelas iaitu kita bantu, bukan menyusahkan, kita mudahkan, bukan melengah-lengahkan dan kita percepatkan, bukan menakut-nakutkan. Selain itu, undang-undang dan peraturan tetap mesti dipatuhi, namun pelaksanaan hendaklah berhemah, profesional dan berorientasikan penyelesaian bukan semata-mata mencari kesalahan.
“Saya mahu setiap pelabur dan peniaga yang datang ke Perlis ini merasa dihargai, dilayan dengan baik dan profesional serta merasakan bahawa kerajaan negeri Perlis benar-benar mahu mereka berjaya di sini.
“Apabila mereka pulang, biarlah mereka menjadi duta tidak rasmi Perlis yang akan memperkenalkan negeri ini kepada rangkaian perniagaan,” katanya pada majlis amanat Menteri Besar Perlis bersama penjawat awam 2026 di sini, hari ini.
Abu Bakar seterusnya menegaskan, kerajaan negeri di bawah kepimpinan baharu beriltizam untuk mentransformasikan jentera pentadbiran negeri agar menjadi sebuah jentera yang benar-benar berkhidmat, bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada sektor perniagaan dan pelaburan.
“Kita mesti berubah daripada budaya lama yang terlalu berorientasikan kawalan semata-mata, kepada budaya memudah cara yang progresif, profesional dan berorientasikan penyelesaian. Mulai hari ini, saya mahu setiap jabatan memahami bahawa pelabur bukan beban,peniaga bukan ancaman dan pelaburan bukan sesuatu yang perlu dicurigai tanpa asas.
“Sebaliknya, pelabur dan peniaga adalah rakan strategik kepada pembangunan negeri Perlis. Kita semua sedia maklum bahawa Perlis telah ketinggalan dari segi kemasukan pelaburan berbanding negeri-negeri lain. Ini bukan kerana Perlis tidak berpotensi tetapi kerana potensi tersebut belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Hakikatnya, Perlis mempunyai kelebihan geografi dan logistik yang sangat strategik, malah tidak dimiliki oleh kebanyakan negeri lain,” katanya.-UTUSAN










