755 tanglung serikan Tanjong sempena Tahun Baharu Cina

755 tanglung serikan kawasan Tanjong sempena Tahun Baharu Cina

SEBANYAK 755 lampu tanglung dipasang di Pengkalan Weld, George Town, Pulau Pinang sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kawasan Parlimen Tanjong di tengah bandar raya ini terus meriah apabila kira-kira 755 lampu tanglung dipasang sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi Majlis Menyalakan Tanglung di Pengkalan Weld.

Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, inisiatif yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya itu membabitkan kos RM87,000 dengan pemasangan tanglung di sepanjang kira-kira 900 meter laluan utama.

Katanya, selain menceriakan suasana pada waktu malam, hiasan berkenaan turut menghidupkan komuniti setempat, memperindah kawasan bandar dan menarik kehadiran lebih ramai pengunjung termasuk penduduk tempatan dan pelancong.

“Inisiatif ini diharap dapat memberi manfaat kepada peniaga kecil dan membantu merancakkan ekonomi setempat, selain mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya di sini.

Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata, kerja-kerja pemasangan dan hiasan lampu tanglung dilakukan di empat kawasan utama dalam Parlimen Tanjong dengan aspek keselamatan, kekemasan dan keindahan diberi perhatian.

Sementara itu, seorang penduduk, Rashidi Abdul Karim, 40, berkata, pemasangan tanglung berkenaan memberi nafas baharu kepada kawasan tersebut yang secara tidak langsung meningkatkan aktiviti ekonomi peniaga kecil di situ.

Katanya, suasana yang lebih ceria dan selamat mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar kawasan, sekali gus memupuk keharmonian masyarakat.

Seorang lagi penduduk, Siti Aisyah Ahmad, 32, berkata, inisiatif itu bukan sekadar hiasan, sebaliknya menjadi medium pendidikan kepada kanak-kanak untuk mengenali kepelbagaian budaya dan perayaan di Pulau Pinang.

Bagi peniaga makanan, Wong Kah Keat, 45, peningkatan jumlah pengunjung sejak pemasangan tanglung memberi kesan positif terhadap jualan hariannya.

“Apabila banyak lampu tanglung dipasang, suasana jadi lebih meriah pada waktu malam dan keluarga juga boleh keluar bersantai tanpa risaukan keselamatan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×