36 maut sepanjang 10 hari protes di Iran

36 maut sepanjang 10 hari protes di Iran

PENUNJUK perasaan dalam kalangan peniaga berarak di atas jambatan semasa protes terhadap keadaan ekonomi dan mata wang Iran di Teheran, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sekurang-kurangnya 36 orang maut sepanjang 10 hari protes ekonomi di seluruh Iran, menurut kumpulan hak asasi manusia.

Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA), yang berpangkalan di luar negara melaporkan 34 daripada mangsa yang disahkan maut adalah penunjuk perasaan, manakala dua lagi mempunyai kaitan dengan pasukan keselamatan.

Pihak berkuasa Iran masih belum mengeluarkan jumlah rasmi kematian, tetapi menyatakan tiga anggota keselamatan terkorban. BBC Persian setakat ini mengesahkan kematian dan identiti 15 individu.

HRANA turut memaklumkan lebih 60 penunjuk perasaan cedera, manakala 2,076 ditahan sepanjang rusuhan yang tercetus akibat krisis ekonomi dan  merebak ke 27 daripada 31 wilayah.

Semalam, media separa rasmi Iran melaporkan seorang anggota polis ditembak mati oleh ‘perusuh’ di Malekshahi, wilayah barat Ilam, yang menyaksikan protes besar-besaran dan sekatan ganas pasukan keselamatan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sebelum itu, pasukan keselamatan dirakam melepaskan gas pemedih mata semasa pertembungan dengan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan menentang pemerintah ulama Iran di Grand Bazaar Teheran.

Protes tercetus pada 28 Disember, apabila peniaga mengambil jalan raya ibu negara untuk meluahkan kemarahan terhadap penurunan mendadak nilai mata wang Iran berbanding dolar AS di pasaran terbuka.

Nilai rial jatuh ke paras terendah dalam rekod setahun kebelakangan ini, manakala inflasi melonjak ke 40 peratus, terjejas oleh sekatan berkaitan program nuklear Iran serta ekonomi yang lemah akibat salah urus dan rasuah.

Protes itu kemudian disertai pelajar universiti dan merebak ke bandar-bandar lain di seluruh negara.

Jumaat lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengugut campur tangan Washington sekiranya pasukan keselamatan Iran membunuh penunjuk perasaan aman.

“Kami bersedia sepenuhnya dan bersiap sedia untuk bertindak,” kata Trump.

Sehari kemudian, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang memegang kuasa mutlak, menyatakan ‘perusuh perlu ditempatkan pada tempat mereka’ dan berikrar tidak akan mengalah kepada musuh.- BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN