KANGAR: Pesta Angin Timur (PAT) 2026 yang merupakan program ikonik negeri ini menyasarkan kehadiran lebih 300,000 pengunjung di Dataran Kangar Jaya di sini.
Pesta Angin Timur kali ini akan berlangsung pada 6 sehingga 8 Februari depan yang turut bakal menarik pelancong dari luar negara bagi menikmati pelbagai aktiviti menarik disediakan.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, sambutan penyertaaan antarabangsa juga meningkat pada edisi kali ini susulan daripada promosi berterusan termasuk dengan kerjasama Thailand.
Katanya, Pesta Angin Timur merupakan antara program dinantikan di dalam kalendar pelancongan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus menjadi antara acara pembuka tirai pelancongan budaya negara.
“Beberapa pengisian baharu dan berskala besar sempena edisi kali ini seperti Himpunan Mega Basikal Lipat yang kali pertama diadakan dengan konsep kayuhan santai mengelilingi bandar Kangar sejauh 20 kilometer.
“Selain itu, PAT 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti reakreasi dan kekeluargaan seperti belon udara panas, paramotor, himpunan motosikal klasik, persembahan seni tradisi seperti makyong dan pelbagai lagi persembahan warisan tempatan dan nusantara.
“Zon jualan turut menawarkan pelbagai jenis makanan tradisional, produk industri kecil dan sederhana (PKS), kraftangan tempatan dan pelbagai lagi,” katanya dalam sidang akhbar sempena PAT 2026 di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, penganjuran kali ini menyasarkan nilai jualan melebihi RM5 juta menerusi penglibatan usahawan tempatan, peniaga kecil serta penggiat industri pelancongan negeri.
“Penganjuran Pesta Angin Timur bukan sahaja mengangkat budaya dan warisan Perlis sebaliknya turut menjadi platform dalam merancakkan ekonomi setempat.
“Ia juga mengukuhkan kedudukan Perlis sebagai destinasi pelancongan budaya utama di negara ini. Kepelbagaian seni dan budaya terus menjadi tunjang utama Pesta Angin Timur,” katanya.-UTUSAN










